Monday, August 31, 2009

Kelebihan Ramadhan Dan Berpuasa

1. Dibuka Pintu Syurga, Ditutup Pintu Neraka Dan Dibelenggu Syaitan:

Apabila tiba Ramadhan:
i. dibuka pintu-pintu syurga [Bukhari/1765]
ii. dibuka pintu-pintu Ar-Rahmah [Muslim/1794]
iii. dibuka pintu-pintu langit [Bukhari/1766]
iv. dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. [Muslim/1793] [Muslim/1764] [Muslim/1793] [Muslim/1794] [Bukhari/1766]

2. Memperoleh Kebaikan Apabila Bersegera Berbuka Puasa:

Tidaklah hilang kebaikan bagi manusia selama mana mereka bersegera dalam berbuka puasa [Muslim/1838] [Bukhari/1821] [Muwattha’/561] [Muwattha’/562]

Telah datang aku (Abi `Atiyyah) dan Masruq kepada `A’isyah dan berkatalah kami: “Wahai Ummi l-Mu’minin, dua orang lelaki dari kalangan sahabat Muhammad SallaLlahu `alaihi wasallam, salah seorang dari keduanya menyegerakan berbuka puasa dan menyegerakan solat, dan seorang lagi melambatkan berbuka puasa dan melambatkan solat”.
Dia (`A’isyah) berkata: “Yang manakah di antara keduanya yang menyegerakan berbuka puasa dan menyegerakan solat?”
Dia (Abu `Atiyyah) berkata: Berkatalah kami (Abu `Atiyyah dan Masruq) “`AbduLlah iaitu Abu Mas`ud”.
Dia (`A’isyah) berkata: “Itu sepertimana yang dilakukan oleh Muhammad SallaLlahu `alaihi wasallam”. [Muslim/1839] [Muslim/1840]
3. Memasuki Syurga Melalui Pintu Ar-Rayyan:

Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari qiyamat kelak. Tidak masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Diumumkan: “Di manakah orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk melaluinya (pintu Ar-Rayyan). Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, ditutup (pintu itu) maka tiada lagi orang lain yang akan memasukinya. [Muslim/1947] [Bukhari/1763]

4. Diampunkan Dosa Lampau:

Sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. [Muslim/1266] [Muslim/1267] [Bukhari/1768]

Sesiapa yang berpuasa pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu [Muslim/1268] dan sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Lailatu l-Qadr dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. [Muslim/1268] [Bukhari/1768]

5. Kelebihan Lailatu l-Qadr:

Lailatu l-Qadr lebih baik daripada 1000 bulan [Surah Al-Qadr/3]

Bilakah Lailatu l-Qadr ?

(i) 7 Malam Terakhir:

Terdapat beberapa orang dari kalangan sahabat RasuluLlah SallaLlahu `alaihi wasallam telah bermimpi melihat Lailatu l-Qadr pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah SallaLlahu `alaihi wasallam berkata: “Mengikut pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh yang terakhir”. [Muslim/1985]

Carilah Lailatu l-Qadr pada tujuh yang terakhir [Muslim/1986]

(ii) 10 Malam Terakhir:

Maka sesiapa yang mencarinya (Lailatu l-Qadr) maka carilah ia pada sepuluh yang terakhir. [Muslim/1990]

Aku telah bermimpi Lailatu l-Qadr kemudian sebahagian dari ahli keluargaku mengejutkan aku lalu aku lupa akannya, maka kamu carilah ia pada sepuluh yang berbaki (sepuluh malam terakhir). [Muslim/1992]

(iii) 10 Malam Terakhir Yang Ganjil (Tidak Genap):

Aku telah bermimpi Lailatu l-Qadr tetapi aku terlupa waktunya. Carilah ia dalam sepuluh malam terakhir yang ganjil. [Muslim/1993] [Muslim/1995]

Seorang lelaki bermimpi bahawa Lailatu l-Qadr pada malam ke-27, maka berkatalah Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam: “Pada pandanganku mimpi kamu pada sepuluh yang terakhir, maka tuntutlah ia pada yang ganjil darinya (carilah Lailatu l-Qadr pada 10 malam terakhir yang bilangannya ganjil. [Muslim/1987]

(iv) 10 (Atau 9) Malam Terakhir:

Carilah kamu Lailatu l-Qadr pada sepuluh terakhir - atau dia berkata - sembilan terakhir. [Muslim/1991]

(v) 10 Malam Terakhir Atau Jika Tidak Mampu 7 Malam Terakhir:

Carilah ia pada sepuluh yang terakhir – iaitu Lailatu l-Qadr – maka jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah lemah (tidak mampu) pada tujuh yang berbaki (kuatkanlah diri untuk mencari Lailatu l-Qadr pada 7 malam terakhir jika tidak mampu mencari pada sepuluh malam terakhir). [Muslim/1989]

(vi) Malam Ke-27:

Dari Ubai bin Ka`ab dia berkata: Berkata bapaku tentang Lailatu l-Qadr, “Demi Allah, sesungguhnya memang aku mengetahuinya”. Berkata Syu`bah, “Dan petunjuk paling besar (tentang Lailatu l-Qadr) ialah malam yang RasuluLlah SallaLlahu `alaihi wasallam memerintahkan kami dengan qiyam (solat malam) padanya, iaitu malam ke-27”. [Muslim/2000]

6. Ganjaran `Umrah Pada Bulan Ramadhan:

Apabila tiba Ramadhan maka kerjakanlah `umrah kerana mengerjakan `umrah padanya (bulan Ramadhan) sama dengan (ganjaran) mengerjakan haji. [Muslim/2201] atau mengerjakan haji bersama-sama aku (RasuluLlah) [Muslim/2202]

7. Sebagai Pelindung:

Puasa itu pelindung. [Bukhari/1761] [Bukhari/1771] [Muslim/1943] [Muslim/1944]

8. Bau Mulut Orang Berpuasa Lebih Harum:

Dan demi diriku (Muhammad) yang di Tangan-Nya, sememangnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah Ta`ala (pada hari Qiyamat) dari bau al-misk (minyak wangi). [Bukhari/1761] [Bukhari/1771] [Muslim/1942] [Muslim/1944] [Muslim/1945] [Muslim/1946]

9. Ganjaran Berpuasa Dibalas Khas Oleh Allah:

Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, ia (puasa) adalah untuk Aku, dan Aku yang akan memberi ganjaran akannya. [Bukhari/1771] [Muslim/1942] [Muslim/1944]

Dia (orang yang berpuasa) meninggalkan makanannya dan minumannya dan syahwatnya untuk Aku, puasa buat-Ku dan Aku yang akan mengurniakan ganjaran buatnya berserta kebaikan dengan sepuluh (ganda) yang seumpama dengannya. [Bukhari/1761]

10. Mendapat Dua Kegembiraan:

Dua kegembiraan yang dia bergembira dengan kedua-duanya: apabila dia berbuka puasa dia bergembira (dengan iftarnya) dan apabila dia berjumpa dengan Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. [Bukhari/1771] [Muslim/1944] [Muslim/1945] [Muslim/1946]

11. Dijarakkan Wajahnya Dari Neraka:

Tidaklah seseorang hamba berpuasa pada suatu hari di jalan Allah (sabiliLlah), melainkan kerananya Allah menjarakkan pada hari itu wajahnya dari neraka sejauh 70 musim luruh. [Muslim/1948] [Muslim/1949]

Sumber: Al-fikrah.net

No comments: