Oleh: Muhammad Hanief bin Awang Yahaya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Diperkenankan (doa) untuk seseorang daripada kamu selagi dia tidak gopoh dengan dia mengatakan, saya telah berdoa tetapi tidak diperkenankan untuk saya. (al-Bukhari: 6340, Muslim: 2735)
Doa merupakan ibadat yang paling utama kerana ia menggambarkan ketundukan dan membuktikan kebergantungan hamba kepada Penciptanya. Ibn al-Qayyim berkata: Doa ialah permintaan sesuatu yang bermanfaat kepada orang meminta dan dihindarkan daripada sesuatu yang memudaratkannya. (Bada`i’ al-Fawa`id, jil. hal. 513)
Al-Tibiy berkata: Doa ialah menzahirkan kemuncak kehinaan dan keberhajatan kepada Allah dan kerendahan diri kepadanya. Tidak disyariatkan doa melainkan untuk menyatakan kepatuhan kepada Allah s.w.t. dan keberhajatan kepada-Nya. Al-Munawi berkata: Doa ialah bahasa yang menyatakan berhajatnya (seseorang itu) dengan menghuraikan keadaan (dirinya yang amat) memerlukan. Apabila seseorang merasa khusyu’ dalam berdoa bererti telah merasai kemanisan dalam beribadat dan bermunajat dengan Allah. (Fath al-Bari, jil. 12, hal. 372)
Allah s.w.t. memerintahkan kita berdoa kepada-Nya
ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Berdoalah kepada-Ku, pasti akan Aku perkenankan bagi kamu. (Surah Ghafir: 60)
Tidak semua permintaan hamba itu ditunaikan segera dalam tempoh yang terdekat. Sifat orang yang lemah imannya ialah apabila berdoa dia mahu segera diperkenankan. Jika dia merasakan permintaannya itu tidak diperkenankan maka dia terus meninggalkan doa. Pada ketika itu sifat tawakkal dan raja`, ya’ni menaruh harapan kepada Allah s.w.t. diuji.
- gambar hiasan
Allah s.w.t. tidak menyukai orang putus asa kerana dia tidak lagi meletakkan harapan kepada Allah. Oleh sebab itu, di antara adab berdoa, sentiasa mengharapkan rahmat daripada Allah dan menyerahkan diri kepada-Nya. Dalam menyatakan dirinya sangat berhajat kepada Allah s.w.t., seseorang itu hendaklah bersabar menunggu doanya itu diperkenaan kerana setiap sesuatu ada masanya yang telah ditaqdirkan untuknya.
Pada hakikatnya, meninggalkan berdoa lebih mudarat daripada doa yang tidak dimakbulkan. Ini kerana doa itu sendiri adalah ibadat yang diperintahkan oleh Allah dan setiap perintah Allah itu sendiri mempunyai hikmah dan maslahah, di dunia dan di akhirat. Meninggalkan doa bererti meninggalkan ibadat kepada Allah s.w.t
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina. (Surah Ghafir: 60)
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ َقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Bashir daripada Rasulullah s.a.w, sabdanya: “Doa itulah ibadat.” Kemudian baginda membaca ayat: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Abu Daud: 1479, al-Nasa`i (dalam al-Sunan al-Kubra), al-Tirmizi: 3247 dan Ibn Majah: 3828)
Oleh sebab itu, terhalang daripada mendapat hidayat untuk berdoa termasuk dalam kerugian. Dalam pada itu, seorang muslim tidak seharusnya menyangka dalam dirinya bahawa Allah tidak menerima doanya dan tidak memperkenankan hajatnya.
عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم اَلْعَجَلَةُ مِنَ اَلشَّيْطَانِ
Daripada Sahl bin Sa’d katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Kegopohan itu datang daripada syaitan. (al-Tirmizi: 2012)
Oleh kerana penyakit gopoh dan mahu segera itu datang daripada syaitan maka seorang mu`min untuk mestilah tenang dan terus bersabar berdoa. Seorang yang kuat imannya dan sabar hendaklah menyingkirkan sifat gopoh kerana ia adalah sifat syaitan dan putus asa itu sifat orang-orang kafir.
وَلَا تَيْئَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ
Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (surah Yusuf: 87)
Selain itu, termasuk dalam gopoh dalam berdoa ialah meninggalkan puji-pujian kepada Allah s.w.t. dan selawat kepada Rasulullah s.a.w.
عَنْ فَضَالَةَ بْن عُبَيْدٍ قال سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يَدْعُو فِي صَلَاتِهِ لَمْ يُمَجِّدْ اللَّهَ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي ثُمَّ عَلَّمَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي فَمَجَّدَ اللَّهَ وَحَمِدَهُ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْعُ تُجَبْ وَسَلْ تُعْطَ
Diriwayatkan daripada Fadhalah bin ‘Ubaid katanya, Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki berdoa dalam sembahyangnya tanpa mengagung-agungkan Allah dan tanpa berselawat kepada Rasulullah s.a.w. maka baginda bersabda: “Wahai orang yang bersembahyang, kamu telah gopoh. Kemudian Rasulullah sa.w. mengajarkan mereka. Dan baginda mendengar seorang lelaki berdoa dalam sembahyangnya lalu dia mengagung-agungkan Allah dan memuji-muji-Nya dan berselawat untuk Rasulullah s.a.w. Lalu baginda bersabda: “Berdoalah nanti akan dimakbulkan dan mintalah pasti kami akan diperkenankan.” (al-Nasa`i: 1284, Abu Daud: 1481, al-Tirmizi: 3477)
Hadis ini menunjukkan bahawa doa yang diperkenankan ialah doa yang dipohon dengan penuh beradab dan dengan tanda syukur kepada Rasulullah s.a.w yang telah mengajarkan kita mengenal Allah dan agama-Nya. Berdoa dengan memuji-muji keagungan Allah amatlah dituntut kerana ia menunjukkan betapa kita beriman kepada-Nya dan meletakkan sepenuh keyakinan kepada qudrat dan rahmat-Nya.
Sumber : http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=2099
No comments:
Post a Comment