Saturday, April 10, 2010

Berkatkah Ilmu Jika Guru Tidak Dihormati?



Oleh: Azwani Abd Ghani

Saya ingin berkongsi cerita seorang bekas guru yang terkejut apabila dikunjungi bekas pelajarnya. Moga kisah ini menjadi teladan kepada pelajar dan ibu bapa sekalian yang mungkin terlupa mengenai pentingnya menghormati seorang guru jika mahu ilmu yang diajar memberkati hidup kita.

Saya akan teringat kisah ini setiap kali membaca laporan guru dipukul oleh pelajar atau diserang oleh ibu bapa. Kisah terbaru ialah seorang guru dibaling dengan meja seperti dilaporkan skuad Sinar Harian dari Kulim, Shaiful Azhar, hari ini.

Berbalik kepada cerita bekas guru ini, suatu hari raya dia dikunjungi bekas pelajarnya yang beriya-iya memohon maaf dan minta dihalalkan segala ilmu yang diajar sepanjang bersekolah dulu. Terkejut juga guru ini kerana sebagai seorang guru, beliau tidak pernah menyimpan dendam.

Menurut bekas pelajar itu, walaupun belajar tinggi, hidupnya tidak pernah senang. Belajar sentiasa dalam keadaan payah, ilmu sukar ‘melekat’ dalam otaknya dan selepas berjaya ke Menara Gading pun, sukar mendapat pekerjaan. Apabila sudah bekerja, susah pula nak naik pangkat. Kesimpulannya, walaupun ada segulung ijazah, hidupnya ibarat seorang yang tidak belajar apa-apa. Malah orang yang tidak belajar tinggi pun boleh lebih berjaya berbandingnya.

Disebabkan kesukaran itu, dia teringat ketika bersekolah dia amat membenci dan tidak menghormati guru-gurunya.

Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu tetapi ia cukup memberi pengajaran dan ingatan kepada saya. Disebabkan cerita itu juga, saya tidak berani berkata yang tidak elok mengenai semua guru yang mengajar anak saya.

Sebagai pelajar, tentu sesekali timbul ‘pergeseran’ dengan guru. Begitu juga yang berlaku dengan anak saya. Dia pernah mengadu guru matematiknya terlalu membosankan sehingga pelajar boleh jadi ‘rangka’ setiap kali berada dalam kelasnya. Oleh yang demikian, dia mengambil keputusan untuk tidak mempedulikan subjek itu.

Saya hanya memberitahunya bahawa ilmu itu nur atau cahaya. Ia juga harta yang boleh dibawa hingga ke akhirat. Guru pula ialah pembawa cahaya. Tidak semua pembawa cahaya itu boleh melakukan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Oleh itu, pelajar yang kena bijak menyesuaikan diri dengan situasi itu.

Saya juga memberitahunya bahawa sepanjang hayatnya nanti dia akan berjumpa dengan pelbagai ragam orang. Bukan saja guru, ia boleh jadi suami, ibu mentua, bos malah sahabat kita. Oleh itu, jika gagal menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi, kita akan mengalami masalah besar sepanjang hayat.

Sejak itu, anak saya tidak berani lagi untuk mengumpat atau tidak menghormati guru, malah dia mendapat A untuk keputusan Matematik PMRnya, baru-baru ini.

Oleh itu, sempena Hari Guru yang akan tiba tidak lama lagi, saya ingin mencadangkan lebih ramai ibu bapa mengingatkan anak-anak agar menghormati guru. Jangan cepat serbu cikgu dengan parang. Muhasabah diri dulu.

Saya juga mohon guru-guru agar mengajar dengan jiwa, menghalalkan segala yang diajar dan maafkan pelajar anda semoga hidup anda dan mereka diberkati.

*Penulis ialah Penolong Editor Edisi Utara Akhbar Sinar Harian

Sumber: Akhbar Sinar Harian 9 April 2010

1 comment:

sue_norsuhainy said...

seandainya ramai ibubapa yang boleh memahamkan anak2 mereka sepertimana anda lakukan, alangkah bahagia guru2 di Malaysia ini.