Saturday, September 4, 2010

Jemputan Buat Yang Sudi







Oleh: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil











“Nak masuk Syurga?” seorang penyoal menyoal.

“Ada ke orang yang tidak mahu ke Syurga?” yang disoal kehairanan.

“Ada!” jawab penyoal.

“Siapa?” yang ditanya pula bertanya.

“Siapa yang mentaati Nabi, masuk ke Syurga. Siapa yang mendurhakai baginda, itulah orang yang tidak sudi. Tidak kepingin mendamba Syurga” balas sang sahabat.



Biar pun hadith yang satu ini bukan bersempenakan Ramadan, namun kena benar untuk ia ditanya pada beberapa hari Ramadan yang berbaki ini:



Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, beliau meriwayatkan daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bahawa sesungguhnya baginda telah bersabda: Setiap umatku masuk ke Syurga kecuali yang menolaknya. Lalu baginda ditanya: Wahai Rasulullah, siapakah yang menolak (peluang masuk ke Syurga) itu? Baginda menjawab: Sesiapa yang mentaatiku, dia masuk ke Syurga, sesiapa yang mengingkariku maka dia itulah yang menolak [Hadith riwayat al-Bukhari]

MENERBITKAN WARNA SEBENAR

Sungguh.

Apabila Ramadan datang dengan tawaran peluang, ruang dan ganjaran, pada 1001 kebaikan yang ada padanya, ia menzahirkan dua perkara.

Tawaran itu menyerlahkan sifat Maha Pemurah lagi Pengasihnya Allah Subhanahu wa Ta’aala. Betapa Allah dan Rasul amat mahukan para manusia mendapat kebaikan. Lahirnya bersih, selamat dan sejahtera, pulang nanti juga dalam keadaan yang bersih. Tidak seperti air sungai yang semakin lama dan jauh mengalir semakin banyak sampah sarap dan kotoran yang dibawa, kekotoran itu boleh jernih semula dengan saringan-saringan yang disediakan, termasuk kedatangan Ramadan dan Lailatulqadr.

Namun apakan daya.

Allah membuka tawaran, manusia jualah yang menentukan apakah keadaan dirinya.

Apakah berlaku adrenaline rush dengan tawaran itu? Keghairahan terhadap Syurga, sebagai pemberian Allah tanda redha dan restu-Nya ke atas diri kita sebagai hamba?

Tawaran pada 10 malam terakhir Ramadan menyerlahkan warna sebenar diri kita.

Sama ada kita warga Akhirat yang teruja dengan kehidupan Akhirat, atau kita sudah tenggelam dengan keseronokan transit hingga mengabaikan perjalanan yang seterusnya. Terpesona dengan syurga dunia yang amat sementara sifatnya ini.







ANTARA MATA DAN HATI

Bila melihat alam yang indah ini
Tidak terasa kebesaran Allah
Bila mendapat musibah lupa dirinya hamba
Nikmat yang datang tiada rasa darinya


Sepatutnya rasa malu kepada-Nya
Kerana anugerah kepada kita
Membuat dosa rasa kekesalannya


Buta hati lebih berbahaya
Buta mata tidak nampak dunia
Buta hati tidak nampak kebenaran
Buta hati ditipu nafsu dan syaitan


Bahkan dilupakan saja
Semua orang rasa bangga dengan dosa
Bila menyebut Neraka
Tidak terasa akan gerunnya


Bila menyebut Syurga
Tidak terasa akan nikmatnya
Itu menunjukkan
Jiwa kita mati atau buta


Album KEIZINAN-MU oleh HIJJAZ

Inilah penentunya.

Sama ada mahu menghias malam yang hanya sepuluh itu dengan amalan khusus pada menghidupkan Ramadan, atau menghias tingkap dengan langsir hingga terlupa kepada ajakan Allah dan Rasul untuknya ke Syurga.

AIDILFITRI YANG BERLEBIHAN

Beruntunglah orang yang membuat persiapan awal untuk Aidilfitrinya.

Sama ada baju baru untuk anak-anak, kuih raya, atau apa-apa keperluan berkaitan, sudah diselesaikan sebelum tibanya 10 malam yang terakhir ini. Dirinya sudah merancang dengan baik, agar tumpuan ibadah tidak terganggu oleh hal-hal ini.

Namun, jika Aidilfitri dihayati sebagai yang sepatutnya, dan tidak sebagai sebuah pesta tahunan yang memerlukan pelbagai persiapan serta kelengkapan yang menelan masa, wang dan tenaga, terselamatlah 10 malam terakhir Ramadan daripada hilang keutamaan.

Bulan masih Ramadan.

Jangan Syawalkan ia.

Lailatulqadr untuk semua.

Untuk setiap yang memburunya.

Sebagaimana setiap umat Muhammad berpeluang ke Syurga.

Kecuali bagi mereka yang menolaknya.

Sudikah anda menerima?

Sumber: http://saifulislam.com/?p=8561

No comments: