Tuesday, November 8, 2011

Keilmuan tinggi , Akhlak buruk?

image

Artikel kali ini inginku menekankan salah satu aspek daripada perkara-perkara yang amat penting dalam kehidupan, iaitu soal akhlak. InsyaAllah, dalam artikel selepas ini akan disentuh lagi perkara yang ada hubung kaitnya dengan ini iaitu sikap.

Dewasa ini, kita dapat lihat hilangnya kemuliaan akhlak sebahagian manusia, lebih-lebih lagi yang melibatkan umat Islam. Pelbagai jenis jenayah berleluasa antaranya rasuah, rogol, rompak dan sebagainya. Kita sememangnya bimbang dengan realiti pada hari ini. Namun, ada satu perkara yang juga tidak kurang seriusnya, iaitu para ilmuan yang ramai sedia maklum mereka mempunyai tahap keilmuan yang tinggi, namun sayangnya ada sebahagiannya mempunyai akhlak yang buruk.

Pada pandangan anda yang membaca artikel ini, antara ‘ilmu’ dan ‘akhlak’, mana yang lebih utama? Bagi menjawab soalan ini, ingin saya kongsikan sebuah hadis yang mahsyur.

Daripada Abu hurairah radiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sollalllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إنما بعثت لأتمم صالح الأخلاق

Maksudnya: “Hanyasanya aku diutuskan, (antaranya) untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”  - Hadis Sahih, Riwayat Al-Imam Ahmad (2/381), Al-Bukhari dalam Al-Tarikh Al-Kabir (7/188) dan lain2 -

Dalam hadis yang lain, daripada Jarir Bin Abdullah radiallahu ‘anhu, bahawa bahawa Rasulullah Sollalllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ مِنْ أَحَبِّكُمْ إِلَيَّ وَأَقْرَبِكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحَاسِنَكُمْ أَخْلَاقًا

Maksdunya: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat kelak adalah orang yang terbaik akhlaknya”  - Hadis hasan gharib, riwayat Imam At-tirmizi (no 2018), dinilai sahih oleh Albani dalam Sahih Al-jami’(no 2201)

image

Ingin saya kongsikan sebuah kisah yang menunjukkan betapa hebatnya akhlak seorang ‘ulama salaf yang tinggi keilmuannya.

Ali bin Musa al-Haddad menukilkan satu kisah berkenaan Imam Ahmad bin Hanbal katanya: Suatu hari aku bersama Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muhammad bin Qudamah ketika menghadiri upacara pengkebumian. Setelah ditanam jenazah, kami mendapati seoarang lelaki buta duduk membacakan (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur. Maka berkata Imam Ahmad kepada lelaki buta tersebut: Sesungguhnya membaca (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur adalah bid’ah. Setelah kami keluar dari tanah perkuburan, berkata Imam Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad: Wahai Abu Abdullah (gelaran bagi Imam Hanbali), apa pandangan engkau tentang Mubassyir al-Halabi? Imam Ahmad menjawab: Dia seorang yang dipercayai riwayatnya. Ditanya lagi (oleh Imam Muhammad bin Qudamah): Adakah engkau pernah menulis sesuatu tentangnya?”

“Imam Ahmad membalas: Ya. Lantas Imam Muhammad berkata: Sesungguhnya aku dikhabarkan daripada Abdul Rahman bin al-Ala bin al-Hajjaj dari bapanya bahawa Mubassyir berpesan apabila dia meninggal dunia bacalah di sisi kepalanya dengan permulaan surah al-Baqarah dan penutup surah tersebut. (Kata Imam Muhammad lagi) Ini kerana Mubassyir berkata: Aku telah mendengar Ibnu Umar berpesan sedemikian. Justeru berkata Imam Ahmad: Maka pergilah dan katakan kepada lelaki buta tadi tiada masalah untuk membaca (al-Quran al-Karim dan zikir-zikir di sisi kubur)”  -  Kitab Adab al-Ikhtilafat al-Fiqhiyyah -

Dalam kisah di atas, jelas betapa ilmu yang ada di dada dengan jantung hati yang tulus menjadikan seseorang itu mempunyai akhlak yang terpuji dan berkeperibadian hebat! Walaupun dikritik oleh ‘musuh’ yang tidak sealiran dengannya, amat sukar atau tiada perkataan keji yang keluar daripada mulutnya sekalipun perkataan ‘bodoh’. Para ‘ulama yang rabbani menghadapi khilaf dalam berijtihad tentang sesuatu hukum dengan penuh adab dan menghormati antara satu sama lain.

Manakala ‘ulama yang mempunyai akhlak yang buruk,  yang menjual fatwa untuk kepentingan kedudukan, pangkat dan harta. Umat akan keliru, bahkan mungkin akan tersesat. Justeru, janganlah hairan jika al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing melainkan golongan ‘ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:

Untitled

Maksudnya:  “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.  (Surah al-A’raf, ayat 175-176).

image

Agak malang kerana bab ‘akhlak’ tidak terkandung dalam sukatan pembelajaran di universiti, walaupun ada di sekolah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, namun kebiasannya sebahagian para pendidik mengabaikannya dengan tidak mengajar tajuk-tajuk berkenaan ‘akhlak ‘ di dalam kelas kerana beranggapan ia tajuk ‘mudah’, maka pelajar boleh membacanya sendiri di rumah.

Namun begitu, umat Islam khususnya para penuntut ilmu dapat melihat dan mempelajari ilmu ‘akhlak’ secara tidak langsung melalui pemerhatian dan pembacaaan. Amatlah malang lagi celaka jikalau kita mempunyai ilmu yang banyak, tetapi akhlak buruk!

InsyaAllah, dalam artikel cetusan pemikiran akan datang, akan saya sentuh satu lagi perkara yang tidak kurang pentingnya, iaitu hakikat ‘sikap’ dan ‘masalah’. Sebagai mengakhiri artikel ringkas ini, suka untuk saya kongsikan suatu ungkapan yang boleh diterima, juga boleh ditolak. Ungkapan tersebut berbunyi:

Kalau ilmu sikit akhlak mulia, you are good! Kalau ilmu banyak akhlak teruk, you are nothing! Kalau ilmu banyak akhlak mulia, you are extremely great! Kalau ilmu sikit akhlak teruk, you are the worst!”

No comments: