Thursday, November 17, 2011

UPSR: Mengimbau Kembali Kenangan. . .

UPSR 2010 Result

Pada hari ini, keputusan UPSR 2011 telah diumumkan. Melihat dan membaca kisah kejayaan, suka dan duka pelajar-pelajar yang gembira dengan pencapaian yang membanggakan, aku terimbau kembali kenangan 7 tahun yang lalu, iaitu pada 11 November 2004, di mana aku melalui apa yang sahabat-sahabat lalui pada hari ini.

Bagi yang telah menduduki dan mendapat keputusan peperiksaan ini bertahun-tahun lamanya seperti aku, kadangkala mendapati keputusan UPSR seakan bukan ‘pengukur’ siapa yang bakal berjaya dalam kehidupannya, juga sebaliknya.

Buktinya, kita dapat melihat sahabat-sahabat kita yang berbeza keputusan UPSR dahulu, dengan macam-macam pencapaian pada hari ini. Ada yang UPSR ‘hanya’ dengan keputusan 2A atau 3A, namun, dia disifatkan telah mencapai ‘kegemilangan’ dalam hidupnya pada hari ini. Berbeza pula ada yang peroleh 5A, pada hari ini hanya bekerja sebagai ‘buruh kasar’ atau bekerja sendiri. Bukan berniat nak menghina atau memperlekeh, namun begitulah kehidupan.

image

Tidak dinafikan keputusan UPSR penting untuk masa depan, namun ia bukanlah segala-galanya. Begitu juga PMR dan SPM. Kejayaan dalam UPSR, PMR dan SPM, bukanlah bererti telah berjaya dalam hidupnya. Begitu juga sebaliknya, kegagalan dalam peperiksaan awam tak bererti hidup telah gagal dan musnah. Sama sekali tidak!

Banyak lagi jalan dan lorong kehidupan yang boleh dipilih untuk ditempuhi. Kitalah yang perlu membuat pilihan. Hidup ini sentiasa penuh dengan pilihan. Kita jualah yang ‘memilih’ untuk menuju ke Syurga atau ke Neraka. Jalan-jalan yang pelbagai ini pasti tersedia nikmat yang bakal diberikan oleh Yang Maha Berkuasa atas segalanya-galanya. Maka lihatlah wahai insan, bagaimana Allah ‘Azza Wa Jalla membahagi-bahagikan nikmat dalam kalangan makhluk-Nya.

image

Semoga yang memperoleh kejayaan dalam UPSR, tidak merasakan dirinya dalam ‘zon selesa’, teruskan momentum dan istiqamah kalian dalam menuntut ilmu dengan penuh keikhlasan dan keazaman, untuk menempah kejayaan pada masa mendatang. Begitu juga PMR, SPM, IPTA, teruskan jihad menuntut ilmu, berusaha, berdoa dan bertawakkal, sehinggalah kita mencapai puncak kehidupan! Usah mudah putus asa dek kegagalan yang dicapai! Daripada jantung hati insan yang pernah merasai kegagalan..

Akhir kalam, semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala merahmati, memberkati, melindungi dan meredhai perjuangan kita dalam kehidupan di dunia yang sementara ini. Amin ya rabbal ‘alamin…

No comments: