Ungkapan yang sedap namun maksudnya bisa ditafsir dengan pelbagai. Memandangkan kekangan masa yang ada, jadi ingin diri yang kerdil ini mencoretkan secara ringkas berdasarkan satu perspektif akan kepentingan bersahabat, yang ingin disebutkan dalam coretan ini, sahabat sebagai penyokong.
Semua sedia maklum bahawa sahabat ialah golongan yang mana kita banyak meluangkan masa bersama. Maka, ada dikatakan, untuk mengenali siapa kita, maka lihatlah siapa sahabat kita. Pernah dengar kan?
Oklah… Back to the topic. Ingin menarik perhatian di sini, berkaitan Sirah Nabi Musa ‘Alaihi Salam, dalam membicarakan soal ini.
Nabi Musa ‘alaihi Wasallam pernah berdoa:
“Dan jadikanlah bagiku seorang penyokong (wazir) dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku.” – Surah Taha 20, Ayat 29-32
Dalam apa jua urusan yang kita lakukan, jika ada penyokong sudah tentu ia akan memudahkannya. Penyokong dapat berperanan memberi sokongan, motivasi, nasihat, idea dan kerjasama. Begitulah kepentingan sahabat yang turut berperanan sebagai ‘penyokong’.
Hal ini dapat juga kita lihat dalam sirah Rasulullah menerusi Saidina Abu Bakr as-Siddiq dan para sahabat yang lain. Mereka mengorbankan harta dan keluarga untuk menjadi ‘penyokong’ Rasulullah dalam membela dan menyebarkan Islam. Semua ini memberi pengajaran kepada kita betapa pentingnya penyokong dalam sesuatu urusan sama ada sedikit atau banyak jumlahnya.
Bukanlah yang dikatakan sebagai ‘sahabat’, mereka yang kaki mengampu, mengambil kesempatan atau ada tujuan keuntungan peribadi, akan tetapi penyokong seperti yang didoakan oleh Nabi Musa: “Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku.”
Sesuatu yang tidak dapat diabaikan dalam doa Nabi Musa di atas adalah, baginda tidak berdoakan penyokong yang ramai. Baginda tidak mendoakan satu jamaah tetapi seorang penyokong. Dengan penyokongnya – iaitu Nabi Harun – mereka berdua pergi berdakwah kepada Firaun yang terkenal hebat dengan sifat zalim.
Di sini terdapat pengajaran bahawa syarat penting untuk berdakwah dan melakukan kerja-kerja Islam bukanlah jamaah yang ramai seperti yang dilaung-laungkan oleh sebahagian pihak tetapi memadai dengan kuantiti yang minimum asalkan dengan kualiti yang maksimum.
Begitu juga dalam hidup bersosial, apalah guna ada ramai pendamping tetapi hanya tahu mengambil kesempatan atas diri kita atau sebaliknya, bersama kita pada masa senang kita, tetapi meninggalkan kita pada masa susah. Biar sahabat yang sebenar-benarnya sedikit, tetapi ia cukup bermakna buat diri kita, membimbing kita ke arah jalan yang diredhai-Nya.
Nabi Musa meneruskan doanya: “Supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingati-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.” – Surah Taha, Ayat 33-35
Alangkah baiknya doa Nabi Musa ini. Baginda tidak inginkan sebarang penyokong, tetapi penyokong yang dapat membantu dan mengingatkannya untuk berhubung dengan Allah. Alangkah tepatnya doa Nabi Musa ini.
Kerap kali apabila kita melakukan sesuatu urusan, kita lupa kepada Allah. Kita menangguhkan solat, jarang-jarang mengingati perintah larangan Allah berkenaan urusan yang sedang dilakukan, lalai dari berzikir dan tidak sedar bahawa Allah melihat apa yang sedang kita lakukan. Begitulah peranan sahabat sebagai penyokong kita.
Keutamaan memiliki penyokong seperti yang didoakan oleh Nabi Musa hampir senada dengan peringatan Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis berikut:
“Sesungguhnya perumpamaan sahabat yang salih dan sahabat yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi”
“Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya”
“Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).”
-- Hadis Riwayat Imam Muslim(2628) --
Sebagai konklusi, semoga kita juga berdoa sebagaimana Nabi Musa berdoa apabila ingin melakukan sesuatu urusan, terutama dalam meneruskan perjuangan dalam kehidupan di dunia yang sementara ini.
Semoga Allah mengurniakan kita sahabat yang berperanan sebagai penyokong yang memiliki ciri-ciri positif yang disebut oleh Nabi Musa, yang bukan sahaja kita berjuang bersama-sama di dunia ini, malah turut bersama sehingga ke syurga, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment