Dua tiga hari ini, kita kerap mendengar ramai orang yang berbicara berkenaan keputusan SPM yang baru saja diumumkan. Ada yang seronok dengan kejayaan yang dicapai, tidak kurang juga yang sedih kerana tidak mendapat apa yang diharapkan.
Alhamdulillah, mabruk ‘alaikum jami’an! Tak kisah apa jua yang antum peroleh, diri ini mengucapkan tahniah. Bagi yang peroleh ‘kejayaan’, moga-moga momentum yang baik ini berterusan hinggalah ke akhir hayat. Jangan syok sendiri sangat, kerana tak kurang juga yang berjaya dalam SPM namun ‘kecundang’ pada peringkat yang lebih tinggi.
Bagi yang kurang ‘berjaya’, usah bersedih hati & kecewa yang melampau. Nak rasa sedih dan kecewa itu, memang lumrah insani untuk berasa sedemikian jikalau kita tak dapat apa yang kita inginkan. Namun, ketahuilah, berapa ramai yang keputusan SPM kurang cemerlang, tetapi akhirnya hidupnya tetap berjaya dan bahagia!
Yang penting bukan siapa kita dulu, atau sekarang, tetapi siapa kita di akhir hayat, sebelum menemui ajal! Ada satu ungkapan yang menarik untuk kita hayati bersama:
“Education is important, but if you do not get all A's in the examination it does not mean you will be a failure in life. You should just pick up a skill.”
Hakikatnya, SPM hanyalah permulaaan kepada kehidupan yang sebenar! Banyak lagi cabaran yang harus dilalui dengan penuh tabah, cekal dan kuat. Ye ke? Kalau tak percaya, laluilah kehidupan untuk hari-hari yang mendatang, jikalau umur panjang, insyaAllah, akan dirasai ‘kebenaran’ fakta ini.
Berkenaan hala tuju selepas SPM, ingin diri yang kerdil ini pesan buat adik-adik yang bakal membuat pilihan. Antum kena tahu bidang apa yang antum paling minat. Yang berada di ranking pertama. Allah Ta’ala ciptakan kita dengan minat, bakat, kecenderungan dan kemahiran dalam bidang yang berbeza-beza.
Kalau ada problem dalam hal ini, beristikharah dan beristisyarahlah. Ini penting, agar tak menyesal di kemudian hari. Ikut kemahuan dan minat diri sendiri, bukan ikut orang lain.
Kalau ibu bapa kita ‘mengharapkan’ kita ambil bidang tertentu, tapi kita lebih berminat kepada bidang yang lain, berterus teranglah dengan mereka dan yakinkan mereka akan minat kita itu. InsyaAllah mereka akan memahami dan memberi sokongan padu kepada kita.
Dalam mengisi borang UPU yakni melalui BPKP, antum harus ‘berhati-hati’ dalam mengisi 8 pilihan program. Silap ‘strategi’, akan buatkan antum mungkin tak dapat tawaran biarpun mendapat keputusan yang baik. Untuk maklumat lanjut, baca di sini.
Yang paling penting, kita harus sedar bahawa corak kehidupan seseorang dengan seseorang yang lain adalah berbeza. Cuma sama ada kita sedar ataupun tidak. Dek nikmat dan kelebihan yang berbeza, maka cabaran, ujian dan dugaan juga dalam bentuk dan dimensi yang berbeza.
Walaupun perjalanan hidup kita berbeza, tetapi kita bermatlamatkan akan perkara yang satu, iaitu menggapai keredhaan Allah ‘Azza Wa Jalla dan menuju kepada yang satu, iaitu syurga yang kekal buat selamanya, insyaAllah.
Akhir kalam, sama-sama kita buka minda kita untuk bersedia menghadapi kehidupan yang lebih mencabar di akhir zaman ini. Semoga Allah Ta’ala sentiasa beri hidayah kepada kita semua agar sentiasa berada di jalan yang benar serta beri kita kekuatan untuk hadapi segalanya dengan sabar, tenang dan cekal.
Semoga kita peroleh kejayaan di dunia dan di akhirat, amin ya rabbal ‘alamin
No comments:
Post a Comment