Ramai juga orang sering mengungkapkan “InsyaAllah..amin” dalam kehidupan seharian. Namun, jika dilihat kembali ungkapan ini menurut perspektif agama, adakah ia dibenarkan? Kalau tak dibenarkan, adakah larangan itu berbentuk ‘makruh’ atau ‘haram’?
Soal kedua ini enggan saya ‘masuk campur’ sebab saya bukanlah seorang yang bertaraf ‘mujtahid’ untuk mengeluarkan fatwa.
Dari sudut bahasa, InsyaAllah bererti 'jikalau Allah kehendaki'. Amin pula adalah ungkapan 'doa' yang memohon agar Allah terima doa kita.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radiallahu 'anh, bahawa Nabi sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:
ادعوا الله وأنتم موقنون بالاجابة ، وان الله تعالى لايقبل دعاء من قلب غافل لاه
Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ia akan dimakbulkan. Sesungguhnya, Allah Ta'ala tidak akan menerima doa daripada jantung hati yang lalai dan tidak bersungguh-sungguh” -- Hadis Hasan, Riwayat Imam At-Tirmizi(3479) --
Dalam satu hadis lain yang juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah radiallahu 'anh, bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إذا دعا أحدكم فلا يقل : اللهم ! اغفر لي إن شئت . ولكن ليعزم المسألة . وليعظم الرغبة . فإن الله لا يتعاظمه شيء أعطاه
Maksudnya: “Apabila seorang daripada kamu bedoa, maka janganlah dia berkata: Ya Allah, ampunlah aku jika Engkau mahu”. Tetapi dia hendaklah bedoa bersungguh-sungguh dan melahirkan kesungguhan dan keinginannya. Sesungguhnya Allah sedikit pun tidak berasa besar terhadap apa yang dikurniakanNya”. – Hadis Riwayat Imam Muslim(2679) --
Amin merupakan ungkapan doa, dan menurut hadis di atas, kita mesti yakin bahawa Allah akan kabulkan, manakala InsyaAllah pula merupakan ungkapan tak pasti, sesuai dengan maksudnya 'jika Allah kehendaki'.
Jadi kalau kedua-duanya disebut sesekali seperti yang sebahagian orang suka gunakan "InsyaAllah..amin", macam saling bercanggah kan?
Sebagai analogi, satu ungkapan yang sebahagian orang biasa gunakan: “Please.. Tolong aku, itu pun kalau hang nak la. Kalau tak nak tolong pun tak mengapalah, tak kisah pun”. Jikalau kita berada di posisi orang yang diminta tolong, apakah perasaan kita? Kita mungkin fikir dia tak yakin pun kita nak tolong dia, malah ‘sindir’ kita pula, selain ‘buruk sangka’ dengan kita.
Sebagai kesimpulan, diri yang kerdil ini tidak mengatakan bahawa kita haram, jauh sekali mengatakan kita berdosa jikalau menyebut ungkapan ini, kerana ia adalah perkara ‘remeh’ dan ‘kecil’. Kalau nak guna juga, terpulanglah kan?
Hak masing-masing dalam beramal, kerana kata-kata insan boleh diterima dan ditolak melainkan firman Allah Ta’ala dan sabda Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam.
Wallahua'lam.
1 comment:
assalamualaikum....
saya ada mengambil sdikit input dri entry ini utk dikongsikan bersama...harap dihalakan ya...
Post a Comment