Oleh: Nawawi Subandi
Sekiranya ilmu seseorang bertambah, maka bertambah pula kerendahan hati dan belas kasihnya. Semangatnya terus bertambah seiring dengan pertambahan ilmu untuk terus menuntut ilmu. Kerana dia sentiasa mengerti bahawa dirinya sentiasa kerdil memerlukan ilmu.
Sekiranya amal seseorang itu bertambah, rasa takut pun akan mengirinya dengan penuh kehati-hatian. Dengannya, dia terus berusaha gigih memperbanyakkan amalannya dan beristiqomah.
Jika bertambah umurnya, semakin berkurang ketamakkannya. Semakin bertambah harta kekayaannya, semakin dermawan dan mudah mengeluarkan sedekah. Tidak terasa bakhil dan kedekut di hatinya.
Sekiranya seseorang bertambah kuasa dan pangkatnya, semakin dekat dan rendah dirinya terhadap orang kebanyakkan. Dia datang ke khalayak ramai menghulurkan keperluan masyarakatnya. Semakin terpapar sifat tawadhu'nya.
Demikianlah serba sedikit tanda kebahagian hati seseorang manusia. Dia mengerti siapa dirinya dan di mana dia harus meletakkannya.
Ada pun sekiranya seseorang itu bertambah ilmunya, bertambah pula kesombongannya.
Bertambah amalnya, bertambah pula kesombongan dan penghinaannya kepada manusia, serta merasa cukup terhadap dirinya. Tidak lagi berburuk sangka terhadap dirinya. Meninggalkan muhasabah diri, dan suka mengangkat muka terhadap amal orang lain.
Jika dia bertambah umurnya, semakin bertambah pula kekalutannya mengumpul kekayaan. Jika bertambah kekayaan, bertambah pula kekikiran dan kebakhilannya.
Jika bertambah kuasa dan pangkatnya, bertambah pula kesombongan dan keangkuhannya. Dia merasa dirinya cukup besar berbanding manusia kebanyakan. Dia mahu dirinya sentiasa dipandang tinggi lagi dihormati.
Demikianlah sikap manusia yang sengsara hati dan jiwanya.
Hakikatnya, itu semua adalah cubaan dan ujian Allah Subhanahu wa Ta'ala terhadap para hamba-Nya, yang mana dengannya suatu kaum itu boleh menjadi bahagia dan manakala sebahagian yang lainnya akan menjadi sengsara.
Hidup ini penuh dengan ujian dan cubaan. Begitulah Allah menghiasi kehidupan para hamba-Nya.
Setiap yang diberikan, sama ada kekuasaan, kerajaan, nyawa, mahu pun harta, semuanya adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk ujian.
Seluruh nikmat juga termasuk ke dalam suatu bentuk ujian dari Allah yang dengannya diperlihatkan sama ada seseorang itu mahu bersyukur atau kufur (mengingkari nikmat).
Begitu juga dengan kesusahan dan bencana. Ia termasuk ke dalam bentuk ujian dan cubaan.
Allah sentiasa akan menguji manusia sama ada dengan nikmat mahu pun musibah. Allah berfirman (maksudnya):
"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku"." Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku". Sekali-kali tidak (demikian)..." (Surah al-Fajr, 89: 15-17)
Realitinya, bukanlah setiap manusia yang diberi kemudahan, kenikmatan, dan keluasan rezeki itu merupakan orang yang dimuliakan Allah dan di atas jalan kebenaran (al-Haq).
Dan bukan pula semestinya orang yang disukarkan rezeki baginya itu dia dihinakan dan dimurkai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Pokok dasarnya, adalah kembali kepada Allah jua. Dinilaikan ia di atas neraca keadilan sebuah hakikat kebenaran jua.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (maksudnya):
"Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kami-lah kamu kembali." (Surah al-Anbiya', 21: 35)
Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan (maksudnya),
"Dan Kami bahagikan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan, di antaranya ada orang-orang yang sholeh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran)." (Surah al-A'raaf, 7: 168)
"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah at-Taghabun, 64: 11)
Rujukan:
1 - Tafsir Ibnu Katsir, al-Hafiz Ibnu Katsir, Terbitan/Terjemahan: Pustaka Ibnu Katsir (Indonesia).
2 - al-Fawa'id, Imam Ibnul Qayyim, Terbitan/Terjemahan: Pustaka al-Kautsar (Indonesia).
3 - Artikel: "Petunjuk Wahyu Buat Mereka Yang Menghadapi Musibah", Nawawi Subandi, http://an-nawawi.blogspot.com.
Sumber: an-nawawi.blogspot.com
2 comments:
unique blog, full of motivation and encourage me...thanks a lot...
Thanks a lot for the comment.
Post a Comment