Ilmu pengetahuan merupakan sebesar-sebesar nikmat dan anugerah Allah ‘Azza Wa Jalla kepada hambanya bagi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, akal manusia sangat terbatas daripada mengetahui rahsia-rahsia alam yang boleh membebaskan manusia dari belenggu kejahilan kepada mendapat hidayah daripada Allah.
Hakikat ini jelas bahawa tamadun dan pembangunan manusia dari dahulu hingga sekarang, ketinggian dan kemajuan serta kemuliaan budi pekerti serta ketinggian taraf hidup manusia tercapai setelah mereka menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Maksud: “Katakalah – adakah sama orang-orang yang mengetahui (orang berilmu) dengan orang-orang yang tidak mengetahui (orang jahil), Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”(Surah Az-Zumar Ayat 9)
Ayat tersebut menunjukkan dengan jelas, bahawa kelebihan orang-orang yang berilmu berbanding orang yang tidak berilmu. Imam Al-Syafie Rahimahullah pernah berkata :
مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ, وَمَنْ أَرَادَ الأخِرَةِ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ, وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِالْعِل
Maksud: “Barangsiapa yang hendakkan dunia hendaklah ia berilmu dan barangsiapa yang hendakkan akhirat hendaklah ia berilmu dan barangsiapa hendakkan dunia dan akhirat hendaklah dia berilmu“.
Jelaslah kepada kita bahawa kesenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat bukanlah dapat dicapai dengan pangkat, kedudukan, harta mahupun kekayaan tetapi semua itu mampu dan hanya boleh diraih dengan ilmu pengetahuan. Kita juga menyaksikan bahawa segala permasalahan, kepincangan,dan malapetaka yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini berpunca dari kejahilan. Kita melihat contoh yang nyata berlaku dalam masyarakat kita hari ini seperti kes penceraian, buang anak, rasuah, dan perpecahan adalah berpunca dari kejahilan terhadap ilmu agama.Islam menjadikan salah satu tuntutan yang mesti dilakukan oleh umat Islam ialah menuntut ilmu.
Sabda nabi Solallahu ‘alaihi wasallam:
طَلَبُ العِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Ertinya: “Menuntut ilmu merupakan satu kefardhuan bagi setiap muslim”. (Hadis riwayat Ibnu Majah – hadis nombor 224 dan ia disahihkan oleh al Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah. Hadis ini juga dinilai sebagai hadis hasan oleh Basyar Awwad Ma’ruf dalam kajiannya terhadap Sunan Ibn Majah).
Ramai dalam kalangan kita atau masyarakat Islam pada hari ini berlumba-lumba untuk beramal ibadah dengan sebanyak mungkin. Ia bertujuan memperhambakan diri kepada Allah, supaya dengan amalan-amalan tersebut berupaya mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah SWT. Namun, dalam keghairahan kita beramal dan beribadah, adakalanya kita mungkin terlupa beberapa aspek utama yang menjadi tunjang untuk diterima sesuatu amalan tersebut.
Terlebih dahulu, perlu kita ketahui apa yang dimaksudkan dengan ibadah itu sendiri? Ibadah adalah segala sesuatu yang meliputi apa yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT serta meninggalkan apa yang dilarangNya sama ada perkataan atau perbuatan dengan berpandukan Al-Quran dan Sunnah RasulNya.
Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِينً۬ا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ
Maksud : “Barangsiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.” [Surah Ali Imran, ayat 8 ]
Setelah berada di atas jalan Islam, prinsip yang paling utama dan perlu dijaga supaya kita sentiasa berpegang teguh dengan prinsip akidah yang benar dan sekaligus menjauhi segala bentuk kesyirikan. Allah Subahanahu Wa Ta’ala berfirman:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يَلۡبِسُوٓاْ إِيمَـٰنَهُم بِظُلۡمٍ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمُ ٱلۡأَمۡنُ وَهُم مُّهۡتَدُونَ
Maksudnya : “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang beroleh petunjuk.” (surah Al-An’am, ayat 82)
Perbuatan syirik adalah suatu perbuatan yang menggugat kemurnian akidah dan boleh mengakibatkan seseorang itu terkeluar dari landasan Islam yang sebenar. Akibat dari perbuatan syirik, amalan-amalan lain akan menjadi lenyap terhapus dan tidak lagi bermakna.
Ini adalah sebagaimana firmanNya:
وَلَقَدۡ أُوحِىَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَٮِٕنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَMaksud:“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya, jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) menyekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) sudah pasti segala amalanmu akan terhapus, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.” (surah Az-Zumar, ayat 65 )
Oleh itu, perlulah kita menitik-beratkan tentang peri pentingnya akidah yang benar. Kerana dengan aqidah yang benar, ia akan menjauhkan kita dari lembah kesyirikan. Sekaligus, dengan murninya akidah dan jauhnya kita dari lembah kesyirikan, maka Allah akan menerima amal-amal yang kita usahakan serta memberi ganjaran pahala yang besar.
Akidah yang benar hanya dapat dikenal pasti melalui ilmu yang benar. Tidak dapat tidak, untuk membina dasar-dasar akidah yang murni dalam diri kita adalah perlu ditangani dengan ilmu. Begitu juga untuk mengenali batas-batas perbuatan yang boleh menjerumuskan kita kepada kesyirikan daripada kebenaran, juga perlu dengan ilmu.
Begitu juga persoalan amal ibadah perlu dengan ilmu dan pengetahuan yang jelas. Amal ibadah yang dilakukan mengikut hawa nafsu semata-mata, tanpa melihat dan mengetahui bagaimana tatacara yang sebenarnya ditunjuk oleh baginda Rasulullah SAW adalah sia-sia. Allah menegah kita daripada melakukan sesuatu tanpa ilmu yang jelas. Maka, sebelum kita dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna, perlulah kita memulakannya dengan menuntut ilmu.
Kerana Allah Ta’ala berfiman:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬
Maksudnya : “Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan jantung hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab”.(Surah Al-Isra’, ayat 36)
Melakukan amal ibadah berpandukan al-Quran dan Sunnah nabi merupakan satu perkara yang amat penting. Dan tidaklah diterima sesuatu amalan itu jika tidak terdapat contoh atau saranan daripada al-Quran dan Al-Sunnah. Dalam ayat yang lain, Allah SWT menjelaskan bahawa jika benar kita mencintai Allah, maka hendaklah kita mengikut apa jua yang ditunjuk dan diajar oleh nabi Muhammad SAW sebagaimana firmanNya:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬
“Demi sesungguhnya, pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang sentiasa mengharap (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (sama ada pada waktu susah, mahu pun senang).”( surah Al-Ahzab, ayat 21)
Allah SWT turut melarang sebarang tindakan dalam amalan agama yang dilakukan tanpa persetujuan dariNya dan RasulNya. Firman Allah SWT :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُقَدِّمُواْ بَيۡنَ يَدَىِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ۬
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya; dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” ( surah Al-Hujurat, ayat 1)
Konklusinya, marilah kita melaksanakan amalan kita berdasarkan prinsip-prinsip ilmu yang benar dan sahih, wajib untuk kita mengiringinya dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Taala. Tanpa sifat ikhlas dan mengikut Nabi Solallahu ‘alaihi Wasallam, amal-amal kita juga masih tetap tidak akan diterima dan menjadi tidak bermakna sedikit pun di sisi Allah. Semoga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah ‘Azza Wa Jalla.
Sumber: Syabab As-Sunnah
No comments:
Post a Comment