Anas bin Malik radiallahu ‘anhu meriwayatkan katanya: Sekalian kaum muslimin yang sedang bersolat Subuh di belakang Abu Bakr di hari Isnin itu dikejutkan dengan kemunculan Rasulullah dari sebelah tabir bilik Aisyah sedang jemaah bersembahyang. Baginda melihat dan memberi senyumannya, Abu Bakr pun berundur ke belakang untuk menyertai saf di belakang, kerana beliau menyangka Rasulullah hendak keluar bersembahyang.
Kata Anas lagi: Hampir-hampir sidang jemaah terpesona dengan solat mereka kerana gembira melihat Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam, namun Baginda memberi isyarat kepada mereka supaya meneruskan sembahyang. Lepas itu Baginda melepaskan tabir dan masuk ke dalam. Selepas itu Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam tidak berkesempatan lagi untuk bersembahyang lima waktu yang lain. Semasa siang semakin cerah Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam menjemput Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu, menyebabkan beliau menangis, lepas itu Baginda memanggil Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu menyebabkan Fatimah tersenyum, kemudian Aisyah berkata: Kami pun bertanya apa ceritanya?
Jawab Fatimah: "Baginda membisik bahawa Allah akan menjemputnya melalui sakit yang Baginda alami ini, itulah yang membawa aku menangis, pada kali kedua Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam membisikkan bahawa daku ahli keluarganya yang diwafatkan Allah selepas Baginda, itulah yang menyebabkan daku tersenyum".
Selain itu, Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam juga memberi khabar gembira (tabsyir) kepada Fatimah bahawa beliau adalah Syayyidah Nisa' al-'Alamin (Penghulu Wanita Dunia). Fatimah melihat beban kesakitan terlalu berat dialami oleh Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam. Beliau berkata: "Alangkah berat seksa bapa". Jawab Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam: "Tiada seksa lagi bagi bapamu selepas hari ini".
Di saat ini Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam memanggil al-Hasan dan al-Husain dan Baginda mencium kedua-duanya sambil berwasiat kepada mereka berdua dengan kebaikan, kemudian Rasulullah menjemput isteri-isterinya, menasihati dan memperingatkan mereka. Kesakitan semakin bertambah, dan kesan racun yang Baginda termakan di hari Khaibar boleh dilihat, menyebabkan Rasulullah berkata: "Wahai Aisyah, kini aku masih terasa sakit kesan makanan di hari Khaibar dahulu, inilah masanya aku mendapati nafasku sesak terputus-putus kerana kesan racun itu". Rasulullah mewasiatkan orang ramai dengan sabdanya: "Solat, solat dan berbuat baiklah kepada hamba sahaya milik kamu". Baginda mengulangi ungkapan ini berkali-kali.
Saat nazak mendatangi Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam, dan Aisyah bertindak membiarkan Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam bersandar kepadanya. Hal ini beliau ceritakan dengan katanya: "Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliranku di antara dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liurku dan liur Baginda semasa kewafatan Baginda. Sebelum itu Abdurrahman bin Abu Bakr telah masuk ke bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam bersandar, ku lihat Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam memerhati ke arahnya, ku sedar bahawa Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut.
Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam pun bersugi dengannya". Dalam satu riwayat lain bahawa Baginda bersugi dengan sepuas-puasnya, pada masa itu terdapat sebuah bijana di hadapan Rasulullah berisi air di mana Baginda memasukkan tangannya untuk menyapukan air ke mukanya sambil berkata yang bermaksud: "Sebenar kematian ini ada sakarahnya" - al- Hadith.
Tidak berapa lama selepas Baginda selesai menyugi giginya, Rasulullah pun mengangkat tangannya ke langit atau jarinya diikuti dengan renungan matanya ke atas, disusuli dengan gerakan bibirnya. Aisyah telah mendengar ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam seperti berikut :
”Bersama-sama dengan mereka yang telah Engkau kurniakan dan golongan para nabi, siddiqin, syuhada' dan solihin, Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah daku dan kasihanilah daku, letakkanlahBaginda mengulangi lafaz yang terakhir sebanyak tiga kali dan tangan Baginda pun layu turun ke bawah, maka Baginda pun terus bersama Kekasih Yang Tertinggi. “Sesungguhnya kita ini bagi Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita semua kembali".
daku dengan Kekasih yang Tertinggi, Ya Allah Ya Tuhanku Kekasih yang Tertinggi”
Peristiwa kewafatan Rasulullah ini berlaku ketika pagi sudah meningkat di hari Isnin, 12 Rabiulawwal tahun 11 Hijrah di waktu usia Rasulullah 63 tahun dan 4 hari.
*Sumber: Ar-raheeq Al-Makhtum, Muka surat 326 dan 327 karangan Syaikh Safy al-Rahman al-Mubarakfuriyy dari yang India yang merupakan Pemenang Hadiah Pertama Pertandingan Seerah Rabitah Alam Islam, Makkah.
No comments:
Post a Comment