Sunday, October 23, 2011

Orang yang bijak yang sebenar-benarnya….

image

Artikel yang dikarang ini sebenarnya merupakan kesinambungan terhadap artikel sebelum ini bertajuk "Kita dilahirkan sebagai orang yang pandai!” Ya.. Dewasa ini, kita dapat melihat macam-macam jenis orang yang bijak pandai. Sama ada yang bijak tetapi seakan tidak bijak atau bijak yang sebenar-benarnya bijak. Apakah maksud disebalik “‘bijak yang sebenar-benarnya?”.

Sebelum memulakan perbahasan berkenaan tajuk ini, ingin ku tanyakan kepada yang membaca, “Adakah anda seorang yang bijak?”, jawab jangan tak jawab. Kalau anda jawab ya, baiklah kalau begitu. Jika anda jawab tidak, saya menasihati anda untuk membaca artikelku yang lepas yang sepatutnya dibaca terlebih dahulu sebelum membaca artikel ini iaitu "Kita Dilahirkan sebagai orang yang pandai!”. Ok.. Bagi yang jawab ya tadi, soalan kedua untuk anda, “Adakah anda orang yang bijak yang sebenar-benarnya?”.  Tidak kisah jawapan anda ya ataupun tidak, anda boleh ‘menilai’ semula selepas membaca saki baki artikel ini.

Perkara pertama ingin disebut di sini ialah berkenaan sikap. Kita tak hairan sesetengah orang menganggap sikap merupakan satu perkara yang kecil dan remeh, namun hakikatnya, sikaplah perkara pokok yang membezakan antara seseorang dengan orang lain. Berbezanya personaliti dan pencapaian insan hanya kerana sikap.

Sebagai contoh, kita boleh saja lihat semua pelajar yang ingin menduduki peperiksaan SPM meluahkan harapan mereka untuk berjaya dengan cemerlang. Namun, mengapa ‘outcome’ atau ‘result’ mereka berbeza? Jawapannya, sikap! Seorang pelajar bijak membahagikan masanya untuk belajar, berbakti kepada ibu bapa dan keluarga serta melakukan hobi dan kerja sambilan, hasilnya kejayaan yang membanggakan . Seorang lagi pula suka belajar ‘last minute’, cepat putus asa jika gagal atau pencapaiannya dalam exams tak memberansangkan, hasilnya kegagalan dek sikap negatif yang menghantui dirinya.

image

Walau bagaimanapun, ada juga orang yang kelihatan bijak pada zahirnya namun hakikatnya dia bukanlah bijak. Mengapa?

Ramai telah sedia maklum dan tahu berkenaan hadis Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam berikut:

Daripada Abdullah Ibnu ‘Umar radiallahu ‘anhu,  dia berkata: Aku bersama Rasulullah solallahu ‘alaihi wasallam, lalu seorang lelaki Ansar datang kepadabaginda kemudian mengucapkan salam kepada baginda seraya bertanya, “Wahai Rasulullah. Manakah di antara kaum mukminin yang paling utama?”,  Baginda menjawab, “Yang paling baik akhlaknya di antara mereka”. Dia bertanya lagi, “Manakah di antara kaum mukminin yang paling bijak?”. Baginda menjawab, “Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang bijak”.

– Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4249 -

Hadis di atas menerangkan kepada kita betapa pentingnya ‘agama’ dalam memimpin kita dalam mengemudi bahtera kehidupan kita dengan menggunakan kebijaksanaan kita dengan betul dan sebaiknya. Ramai saja orang yang kelihatan bijak ,tapi akhirnya ditangkap kerana jenayah rasuah, bunuh orang, salahguna kuasa dan sebagainya. Semuanya berpunca daripada kelalaiannya terhadap soal agama, meskipun dia mempunyai sikap yang positif namun tidak menyeluruh!

Betapa pentingnya kehidupan insan yang sentiasa mengingati mati, bukan untuk membuatkan insan berada di sejadah 24 jam, tetapi untuk mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Amatlah malang orang yang berfahaman amalan untuk dunia 50 akhirat 50. Setiap tingkah laku kita mestilah berpaksikan akhirat!

image

Orang yang kerap mengingati kematian, akan sedar akan hakikat kehidupan di dunia ini yang hanya sementara, manakala kehidupan di akhirat jualah yang penting kerana di sana tempat kita kekal buat selamanya. Maka, dengan kesedaran ini secara tidak langsung akan membentuk sikap yang positif yang sebenar-benarnya dalam diri insan ini, untuk menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan tuntutan agama, agar setiap detik dalam hidupnya tidak sia-sia, sebaliknya bermakna sebagai bekalan untuk hari penghitungan.

Di mata orang yang menilai dirinya dengan ‘adil dan rasional, akan jelas terpancar ‘kebijaksanaan’ dirinya walaupun mungkin dia tidak berpendidikan tinggi, hidupnya tidak begitu mewah, hebat dan disanjung tinggi oleh masyarakat, tetapi tindakan dan percakapannya membuktikan kebijaksanannya. Semoga kita menjadi salah seorang insan yang bijak dengan sebenar-benarnya!

No comments: