Sunday, October 30, 2011

Mengangkat Tangan Ketika Khatib Membaca Doa?

image

Secara umumnya, mengangkat tangan ketika berdoa’ ini sunnah. Ini berdasarkan hadith Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam, sabdanya :

“Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia, apabila hambanya mengangkat tangan kpadanya, ia tidak akan menolak dengan tangan kosong” – Riwayat Al-Tirmidzi no: 3556, dinilai Sahih oleh al-Albani didalam Sahih al-Tirmidzi.-

Akan tetapi, mengangkat tangan semasa berdo’a didalam Khutbah Jumaat bagi Khatib bukanlah sunnah untuk mengangkat tangannya. Ia hanya disunnahkan menunjuk dengan menggunakan jari telunjuk. Malah para sahabat mengutuklarang khatib mengangkat tangan ketika berdo’a.

“Dari ‘Umaarah ibn Ru’aibah melihat Bishr ibn Marwaan ketika diatas mimbar mengangkat tangan (Abu Daud menambah : apabila melakukan do’a pada hari Jumaat), dan berkata :’Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah saw tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya’ dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 874 dan Abu Daud, no. 1104)

Imam Al-Nawawi rahimahullah mengatakan ketika mensyarahkan hadis Sahih Muslim :

“Ini menunjukkan adalah sunnah tidak mengangkat tangan ketika khutbah. Ini pandangan Malik dan sahabatnya dan lain-lain. Didalam kitab Tuhfat al-Ahwadhi menyebut bahawa hadis ini menunjukkan bahawa makruh mengangkat tangan, dan begitulah kepada jemaah yang berimamkan dia.”

Ma’mum juga tidak digalakkan mengangkat tangan semasa Khatib membaca do’a, kerana ma’mum mengikut Imam.

Akan tetapi jika Imam berdo’a agar diturunkan hujan pada hari Jumaat semasa beliau diatas mimbar, maka adalah menjadi sunnah mengangkat tangan dan begitu juga keadaan ma’mumnya, disunatkan mengangkat tangan.

Muhaddith Sheikh Nasiruddin Al-Albani di dalam buku Bida’ Al-Jumu’ah (ms 56-66)[1] , telah menyatakan bahawa mengangkat tangan :

a. semasa Imam duduk diantara dua Khutbah (no:42)
b. semasa ma’mum mengaminkan do’a khatib (no:63)

merupakan bid’ah-bid’ah yang biasa dilakukan oleh ma’mum yang menghadirkan diri didalam solat Jumaat.

Beberapa ulama’ mengatakan bahawa adalah menjadi kesalahan orang-orang yang bersolat mengangkat tangan mereka bagi mengaminkan do’a Imam, dan disebut oleh Ibnu Abidin (Khaasiyah Abidin 11/143), sesungguhnya jika mereka melakukannya maka mereka dosa keatas yang sahih [2]

Begitu jugalah halnya kepada mereka yang mengangkat tangan mereka tatkala Imam duduk diantara 2 khutbah.

Berdo’a didalam Khutbah Jumaat adalah disyara’kan tsabit dari Nabi saw dimana ia mendoa’kan keatas mu’minin dan mu’minat. Didalam Fatwa no:6396, Faatwa Lajhah Daa’imah LilBuhtuth Al-Ilmiyah wa Al-Ifta’ (8/233) mengatakan bahawa menyebut ‘Amin’ pada do’a tidaklah mengapa.  [3]

Berkata Shaikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah:

“Mengangkat tangan tidak disyara’kan semasa khutbah Jumaat atau khutbah Eid, samada Imam atau makmum jemaah tersebut. Malah apa yang disuruh adalah mendengar khutbah dengan baik dan menyebut AMIN semasa Imam berdo’a, tanpa meninggikan suara (cukup untuk diri sendiri mendengar AMIN).” [4]

Shaikh Ibn Utsaimin rahimahullah mengatakan bahawa dibolehkan mengangkat tangan jika khatib sedang mendo’akan agar diturunkan hujan (istisqaa’) dimana Rasulullah pernah mengangkat tangannya ketika berdo’a kepada Allah meminta hujan semasa khutbah Jumaat, dan dilaporkan bahawa makmum juga turut mengangkat tangan. Menurut beliau, didalam situasi lain tidak disunatkan mengangkat tangan semasa khatib menyampaikan khutbah. [5]

Kesimpulannya, mengangkat tangan untuk berdo’a semasa Imam duduk antara 2 khutbah dan juga semasa Imam membaca do’a tidaklah terdapat didalam syara’, malah ada ulama’ mengatakan ia adalah perbuatan bid’ah. Do’a boleh dibaca pada masa Imam sedang duduk diantara 2 khutbah dengan secara perlahan (sir), tanpa mengangkat tangan dan ‘Amin’ boleh dibaca secara perlahan semasa Imam membaca do’a.

Semoga artikel ini dapat membantu kita dalam memahami agama dengan lebih jelas. Wallahua’lam.
——————————————————————————

Rujukan :

1. Sheikh Nasiruddin Al-Albani. Bida’ Al-Jumu’ah . Riyad : Maktabah Al-Maa’arif, 1996.

2. Abu Abidah Mashyur bin Hassan bin Sulaiman. Al-Qaul Al-Mubin fi Akhta’ Al-Musolliin. Damaan : Dar Al-Qayyim, 1996. ms. 380.

3. Faatwa Lajhah Daa’imah LilBuhtuth Al-Ilmiyah wa Al-Ifta’ – 8.cetakan ke 3. Riyad : Dar Al-Mu’id, 2000.

4. Majmu’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah Li Samaahah al-Syeikh Ibn Baaz, 12/33

5. Fataawa Arkaan al-Islam, ms 392

No comments: