Wednesday, February 17, 2010

Siapakah Wali Allah?

Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah


Dalam bulan Febuari terdapat hari “Valentine’s Day”, iaitu pada 14 haribulan. Terdapat banyak perbincangan berkenaan hari ini, dari aspek sejarah hinggalah ke aspek hukum agama. Tidak mahu ketinggalan, penulisan saya pada bulan ini turut menyentuh berkenaan “Valentine’s Day”, tetapi dari sudut yang lain.


http://hafizfirdaus.com/images/stories/cinta_dan_iman.jpg


Dikatakan bahawa “Valentine’s Day” berasal dari sejarah seorang tokoh Kristian bernama Saint Valentine. Terdapat beberapa riwayat sejarah tentang apa yang sebenarnya dilakukan oleh tokoh ini, dengan kebanyakan riwayat itu berpaksi kepada usaha dia menyemarakkan kasih sayang di kalangan pasangan lelaki dan wanita. Tokoh itu bukan sebarangan tokoh, tetapi berpangkat “wali” sebagaimana yang dikenali dari namanya: “Saint” Valentine.


Jika kita mengkaji ajaran pelbagai agama, akan ditemui bahawa hampir semuanya memiliki konsep “wali”. Ia adalah gelaran atau kedudukan yang diberikan kepada seorang penganut yang dianggap memiliki nilai ketuhanan, kesucian, kerohanian dan kuasa ajaib yang berbeza dari penganut awam. Gelaran serta kedudukan ini juga menyebabkan ramai penganut awam yang melakukan ibadah kepada wali itu disamping beribadah kepada tuhan mereka.

Di kalangan umat Islam, konsep wali tidak jauh berbeza dengan apa yang diyakini oleh agama lain. Wali Allah sering dianggap orang yang boleh berulang-alik ke Masjidil Haram di Mekah untuk bersolat jamaah, berzikir di atas laut, mengajar di atas udara dan melakukan perkara-perkara di luar adat kebiasaan. Berdasar anggapan inilah, wali Allah sering dijadikan fokus ibadah, tempat mengeluhkan hajat, sumber bertanyakan hal ghaib, kuasa bagi mengharapkan sesuatu manfaat atau menolak mudarat dan perantara untuk berdoa. Malah ada yang melampau sehingga menganggap wali Allah itu lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya berbanding Rasul dan Nabi Allah. Berdasarkan kedudukan ini, wali itu mampu membawa ajaran agama yang membatalkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w..

Wali Menurut al-Qur’an.

Jika dirujuk kepada al-Qur’an, wali bukan seumpama yang diyakini oleh sebahagian umat Islam masa kini. Al-Qur’an menerangkan: “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kejayaan yang besar.” [Yunus 10:62-64]

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. menerangkan siapakah wali-wali-Nya. Mereka ialah orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Orang yang beriman ialah mereka yang memiliki keyakinan – yakni aqidah – yang tulen terhadap Allah s.w.t.. Bukan aqidah yang dicemari dengan keyakinan agama lain, falsafah Yunani, teori para pemikir Timur hingga Barat dan adat setempat. Oleh kerana banyaknya unsur pencemaran ini, kita sentiasa perlu memberi perhatian kepada ketulenan aqidah agar dengan itu kita dapat menepati ciri pertama menjadi wali Allah.

Ciri kedua ialah orang yang bertaqwa, iaitu orang yang setiap gerak-gerinya disusun dengan perasaan takut kepada Allah, pengetahuan diperhati oleh Allah dan kesedaran bahawa ia akan dibalas oleh Allah. Semua ini akan menyebabkan dirinya tidak akan melakukan sesuatu ibadah melainkan dipastikan terlebih dahulu ia dikehendaki oleh Tuhannya, iaitu apa yang diajar oleh pesuruh-Nya Muhammad s.a.w.. Semua ini juga menyebabkan dirinya tidak akan melakukan sesuatu amal shalih melainkan nilai keshalihan itu diukur dengan ukuran Ilahi.

Demikian secara ringkas berkenaan siapa dan bagaimana “wali Allah”. Dalam hal ini saya teringat kepada kata-kata Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah, di mana beliau pernah menulis: “Hal penting bagi kita adalah, wali Allah ialah orang-orang beriman, bertaqwa, bertauhid dan istiqamah. Mereka ialah orang-orang yang melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Setiap mukmin yang bertaqwa dan istiqamah terhadap aturan Allah adalah wali Allah. Tidak penting sama ada dia mengetahui hal-hal ghaib atau mendapat karamah (kemampuan melakukan perkara di luar adat kebiasaan). Wali Allah bukan sepertimana gambaran orang ramai, kerana menurut mereka wali ialah orang yang memiliki hal-hal aneh dan kuburan khusus untuk dia dikuburkan ketika meninggal dunia kelak.

Gambaran di atas adalah mitos yang tidak didukung oleh ilmu dan agama serta tidak diberi kekuatan (hujah) oleh Allah. Malah menurut ahli ilmu, karamah bukanlah ciri seorang wali.” [Akidah Salaf & Khalaf, ms. 243-244]

Berusaha Menjadi Wali Allah!

Berdasarkan penjelasan siapa dan bagaimana ciri-ciri wali Allah sebagaimana ayat 62-64 surah Yunus di atas, tidak salah jika dikatakan wali adalah kedudukan yang diusahakan oleh setiap individu muslim. Ia bukanlah kedudukan yang dinobatkan oleh orang ramai, sesuatu pertubuhan atau kumpulan. Di sinilah letak perbezaan konsep wali antara Islam dan agama lain, antara ajaran al-Qur’an dan kelaziman masyarakat.

Sesiapa yang berusaha untuk menjaga ketulenan aqidahnya dan meningkatkan tahap ketaqwaannya, maka dia seorang wali Allah. Baginya tiada kebimbangan terhadap apa yang akan datang serta tiada dukacita terhadap apa yang sudah berlaku. Malah baginya kebahagiaan dunia dan akhirat. Inilah janji Allah bagi para wali-Nya, maka rugilah sesiapa yang enggan menjadi wali Allah.

Sumber: hafizfirdaus.com

No comments: