Sunday, December 26, 2010

Bingkisan Ringkas Buat Calon PMR 2010….



Assalamualaikum Warahmatullah Wabaraktuh...

Pertama sekali, selamat datang ke alam persekolahan menengah atas bagi tahun 2011 yang bakal menjelma kepada calon PMR 2010.. Mungkin kehangatan keputusan peperiksaan PMR yang baru beberapa hari berlalu itu masih terasa bagi semua calon. Sudah pastinya ada yang bergembira dengan kejayaan yang dicapai, rasa biasa sahaja atas keputusan yang dianggapnya biasa dan sudah pastinya ada juga yang sedih dan kecewa kerana tidak memperoleh keputusan seperti apa yang diimpikan.

Sebenarnya, apa sahaja keputusan yang diperoleh itulah dia kayu pengukur terhadap sejauh manakah gigihnya usaha anda bagi menghadapi peperiksaan PMR yang telah berlalu pergi. Memang jarang sekali untuk kita mendengar insan yang berusaha dengan gigih tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Apapun, saya merakamkan sekalung tahniah kepada semua calon yang berjaya dengan cemerlang. Janganlah riyak dengan kejayaan anda selain berasa anda sudah berjaya dalam kehidupan kerana PMR hanya secebis kecil ujian yang perlu anda lalui. Jangan lupa SPM yang akan diduduki pada tahun hadapan. Teruskan kecemerlangan anda dalam pelajaran kerana anda sudahpun membuktikan anda mampu melakukan dan mendapatkan yang terbaik!



http://ordinaryguy92.files.wordpress.com/2010/12/1sad_man.jpg?w=300

Bagi calon yang kurang berjaya atau yang tidak memperoleh keputusan seperti yang diharapkan, janganlah berputus asa dan bersedih dengan keputusan yang anda peroleh. Ia juga satu kurniaan kepada anda iaitu satu pembakar semangat bagi anda untuk menggiatkan lagi usaha bagi melalui liku-liku kehidupan dalam tingkatan 4 dan 5 yang mencabar. Anda pastinya tercabar untuk membuktikan kegagalan anda memperoleh keputusan yang diimpikan dalam PMR tidak bermakna anda akan terus gagal dalam pelajaran!

Sesungguhnya PMR tidaklah begitu penting jika dibandingkan dengan SPM. Kepentingan PMR hanyalah untuk menentukan aliran yang akan kita ambil dalam tingkatan 4 dan 5. Kecualilah bagi calon-calon yang berhasrat untuk ke sekolah berasrama penuh ataupun Maktab Rendah Sains Mara selepas PMR, mereka pastilah ingin memperoleh keputusan semua A untuk melayakkan diri ke sekolah itu.

Saya ingin menceritakan sedikit kisah benar berdasarkan pengalaman yang telah saya lalui. Terdapat pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam PMR dengan memperoleh keputusan 8A ataupun 9A manakala terdapat juga pelajar yang kurang berjaya dalam PMR dengan memperoleh keputusan 5A ataupun 6A. Apabila masuk ke tingkatan 4, situasi menjadi agak berubah. Terdapat pelajar yang cemerlang dalam PMR tetapi merosot ketika di tingkatan 4 manakala pelajar yang kurang cemerlang dalam PMR pula sebaliknya yakni semakin baik keputusannya bahkan mengalahkan calon yang cemerlang dalam PMR itu ketika di tingkatan 4.

Apakah sebenarnya yang berlaku? Pada pendapat saya, sebenarnya tidak pelik keadaan seperti ini. Calon yang cemerlang dalam PMR mungkin merasakan dirinya pandai dan bagus dan akhirnya kurang belajar bersungguh-sungguh ketika di tingkatan 4 manakala calon yang kurang cemerlang dalam PMR pula sebaliknya. Keputusannya yang kurang cemerlang dalam PMR memberikannya semangat untuk lebih gigih belajar ketika di tingkatan 4.

Saya tidak mengatakan semua calon yang cemerlang dalam PMR merosot ketika di tingkatan 4, terdapat yang terus cemerlang di tingkatan 4. Begitu juga calon yang kurang cemerlang dalam PMR, bukan semua yang kian bertambah baik ketika di tingkatan 4, terdapat juga yang tetap kekal kurang cemerlang ketika di tingkatan 4.

http://www.cartoonstock.com/newscartoons/cartoonists/msh/lowres/mshn64l.jpg

Bagi calon PMR 2010 juga, anda pastinya akan nampak dengan jelas perbezaan antara pelajaran tingkatan 3 dengan pelajaran tingkatan 4 yang diakui oleh semua pelajar yang telah melalui kedua-duanya sebagai terlalu berbeza. Apapun, jangan gementar atau takut untuk menghadapinya. Yakin dengan diri anda bahawa anda pasti dapat laluinya dengan baik.

Kesimpulannya, persoalan untuk cemerlang atau tidak cemerlang semuanya terletak di tangan kita untuk menentukannya. Sentiasalah bersikap postif dan juga berdoa kepada ALLAH ‘Azza Wa Jalla agar kita diberi kekuatan untuk melawan godaan syaitan dan pujukan nafsu yang seringkali mengajak kita untuk bersikap negatif. Akhir sekali, semoga kita sentiasa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran seterusnya berjaya di dunia dan di akhirat. Berusaha, berdoa & bertawakkal !

Buat semua calon PMR 2010,
Semoga berjaya dalam SPM 2012!

3 comments:

-munir- said...

alhamdulillah,,,
semoga kami trus cmrlang di masa2 akn dtg,,
trime ksh yg x terhingga bwt coretan anda yg lalu,,
sgt membina,,
=)
insyaAllah kami akn bwt yg terbaik dlm exam2 yg akn dtg,,
fighting! ('',)

admin said...

'afwan ya ukhti..
insya ALLAH..teruskan pejuangan dalam menuntut ilmu..
moga dipermudahkan segala urusan oleh ALLAH..

syuhada said...

insyaALLAH..akn kmi usahakn dgn bsungguh2 pd mse akn dtg..trme ksh ats kata2 smgt yg dbri..syukran..:)