Artikel a.k.a coretan ringkas hari ni ditulis sempena hari ulangtahun kelahiranku yang ke-19. Ramai la juga yang wish sama ada di facebook, SMS atau cakap depan2. Jazakumullah khairal jaza’ – thanks a zillion – terima kasih daun keladi, kepada semua yang berkenaan! =)
Teringin saya ungkapkan suatu ‘isu’ atau perkara untuk sama-sama renungkan dan fikirkan bersama. Apakah ia?
Kita seringkali mendengar ungkapan “semoga panjang umur” apabila orang lain wish birthday kepada orang lain. Persoalannya, adakah umur kita yang ditetapkan contohnya 30 tahun, boleh dipanjangkan kepada 60 tahun?
Anas bin Malik radiallahu ‘anhuma menceritakan bahawa Rasulullah Solallahu ‘alaihi wasallam pernah mendoakannya: "
“Ya Allah! Banyakkanlah harta dan anaknya, panjangkanlah umurnyadan berilah keampunan kepadanya”. [Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad, jld. 1, ms. 246, no: 653.]
Walaubagaimanapun ada sebuah hadis lain yang tidak menggalakkan doa panjang umur:
Umm Habibah, salah seorang isteri Rasulullah Solallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa:
"Ya Allah! Berilah kepadaku manfaat (yakni panjangkanlah umurku) bersama suamiku - Rasulullah SAW, ayahku - Abu Sufyan dan saudaraku - Muawiyah." Maka Rasulullah menegur: "Kamu telah memohon kepada Allah tentang ajal yang telah ditetapkan, hari-hari yang telah terhitung dan rezeki yang telah dibahagikan. (Itu semua) tidak boleh disegerakan sebelum datang waktunya dan dan tidak boleh ditangguhkan ketika datang waktunya. Kalau saja engkau berdoa kepada-Nya agar selamat dari siksa neraka atau siksa kubur, maka itu lebih baik bagi kamu." [ Hadis Sahih, Riwayat Imam Muslim. rujuk Shahih Muslim – 2663]
Menurut pandangan seorang ilmuwan iaitu Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, hadis pertama menjadi dalil boleh mendoakan panjang umur manakala hadis kedua menjadi dalil tidak disyorkan doa panjang umur.
Penyelarasan di antara dua hadis:
Boleh mendoakan panjang umur kepada orang yang masih kanak-kanak, agar dengan umurnya itu dia dapat manfaatkan sepenuhnya. Anas bin Malik masih kanak-kanak ketika berkhidmat kepada Rasulullah. Ketika Rasulullah wafat, umurnya belasan tahun.
Bagi orang yang sudah dewasa, lebih baik berdoa berkenaan Hari Akhirat, seperti memasuki syurga dan menjauhi neraka.
Doa - termasuklah doa berkenaan umur - boleh mempengaruhi taqdir. Ia mempengaruhi taqdir mu'allaq - dengan kehendak Allah. Akan tetapi doa tidak dapat mempengaruhi taqdir mubram.
Antara taqdir dan umur, setiap orang ada dua umur. Pertama ialah umur yang ada dalam catatan malaikat maut dan ini boleh berubah dengan kehendak Allah apabila manusia mengusahakan sebab-sebabnya (taqdir mu'allaq). Kedua ialah taqdir yang ada dalam ilmu Allah dan tertulis di Luh Mahfuz dan ini tidak dapat diubah (taqdir mubram).
Firman Allah Ta’ala:
“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Dia tentukan ajal (taqdir mu'allaq) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (taqdir mubram); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu”[ Surah Al-An'aam Ayat 2]
Namun, terdapat juga hadis seperti berikut:
“Barangsiapa yang senang untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), maka hendaklah dia menyambungkan (tali) silaturahim.” [ Hadis Riwayat oleh Imam Bukhari dalam Shahihnya, Kitabul Adab, bab Man Busitha Lahu Minar Rizqi Bi Shilatirrahim (10/429). Muslim dalam Shahihnya, Kitabul Birri Wal Shilah Wal Adab, bab Shilaturrahim Wa Tahrimu Qathi’atiha (16/330).]
Ada ilmuwan iaitu Ustaz Mohd ‘Adlan Mohd Sharifuddin yang berpendapat, , panjang umur dalam doa di atas bukan bermakna daripada 20 tahun menjadi 50 tahun tetapi panjang umur di atas bermakna (Panjang umur dalam kebaikan). Maksudnya, agar masa yang ada dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya seolah-olah orang yang panjang umur.
Menurut Kapten Hafiz lagi, sememangnya, dalam kalangan ilmuan Islam ada yang memahami doa panjang umur sebagai kiasan. Iaitu umurnya tetap sama, hanya di dalam umur itu dia dapat membuat banyak perkara yang bermanfaat untuk agama dan manusia.
Ada juga yang memahami, umurnya tetap sama tetapi orang itu sentiasa diingati oleh orang lain, seolah-olah dia masih hidup = umur panjang.
Namun pemahaman secara zahir lebih tepat sebab dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menerangkan bahawa doa dapat mencegah/menukar taqdir. Taqdir yang dicegah atau diubah itu ialah taqdir yang ada di dalam catatan malaikat.ni dapat juga dilihat dalam firman Allah SWT:
“Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh "Suratan Azali". Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan". [Surah Ar –ra’d, ayat 38-39]
Apa yang Allah hapus dan tetapkan = taqdir mu'allaq dalam pegangan malaikat. Apa yang ada disisi-Nya ialah taqdir mubram.
Merujuk kepada contoh umur 20 tahun menjadi 50 tahun, di sisi ilmu Allah si-fulan umurnya memang 50 tahun. Dalam catatan Luh Mahfuz, sifulan umurnya 20 tahun namun dengan sebab-sebab yang dia usahakan seperti berdoa panjang umur atau menghubungkan silaturahim, umurnya akan menjadi 50 tahun atas kehendak Allah.
Tiada siapa yang mengetahui kandungan Ummul Kitab di Luh Mahfuz, termasuklah malaikat maut.
Perintah yang diperolehi oleh malaikat maut dalam buku "things to do and when" miliknya ialah mencabut nyawa sifulan ketika umurnya 20 tahun. Akan tetapi sifulan itu mengusahakan sebab-sebab untuk panjang umur dan dengan itu, Allah menukar perintah yang ada dalam "things to do and when" milik malaikat maut kepada umur 50 tahun.
Justeru apa yang di sisi Allah tidak berubah, apa yang di sisi malaikat yang ditugaskan dengan urusan tertentu manusia yang berubah dengan kehendak Allah ‘Azza Wa Jalla.
Sekadar perkongsian tinta pendapat ilmuwan Islam dalam hal berkenaan panjang umur ini. Harap ia bermanfaat untuk percambahan pengetahuan kita bersama.
No comments:
Post a Comment