Sebenarnya saya agak ‘confused’ nak letak tajuk apa bagi artikel cetusan pemikiran kali ini, namun, fokusnya satu – gejala murtad dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Dah lama sebenarnya nak karang pasal ini, cuma idea tak tercetus secara ‘lengkap’. Alhamdulillah, sekarang rasa ok nak sebut pasal hal ini mengikut perspektif saya sebagai umat Islam yang masih kurang ilmu, yang pastinya orang boleh terima, boleh tak nak terima. Terpulang.
Soalan yang sering diajukan oleh masyarakat: Kenapa berlakunya kes-kes murtad dalam kalangan umat Islam pada akhir zaman ini? Apakah puncanya? Salah siapa?
Pertama, saya ingin menyebut tentang punca utama yang paling besar dalam hal ini iaitu berkenaan soal aqidah umat Islam. Kita boleh lihat dengan jelas menerusi media massa sama ada televisyen, internet dan akhbar, berlakunya ‘krisis’ aqidah melalui lambakan cerita seram, gejala bomoh dan dukun serta penularan ‘hadis’ palsu terutama berkenaan fadhilat dan ancaman sesuatu amalan. Ketiga-tiga perkara ini sangat berkait rapat dengan aqidah umat Islam.