Saturday, January 14, 2012

Hakikat Pelajar dan Gred ‘A’…

image

Terlintas dalam benak pemikiranku untuk mencoretkan tentang suatu perkara yang diri ini merasakannya ‘penting’ untuk difahami dan menjadi ingatan bagi diri kita yang bergelar pelajar. Walaupun artikel sebelum ini ada menyentuh tentangnya, namun daku kira ia tidak disentuh secara details dan specific.

Hakikat dalam realiti kehidupan hari ini, ‘pelajar’ dan ‘peperiksaan atau ujian’ tak dapat dinafikan sebagai mempunyai ‘hubungan yang erat’. Tatkala menyebut ‘pelajar’, maka ‘peperiksaan’ merupakan tajuk kegemaran ramai untuk diperbualkan.

Pertama, perkara yang sememangnya harus kita jelas ialah hakikat hidup ini yang merupakan suatu ujian. Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:

Dialah yang menjadikan kematian dan kehidupan, untuk Dia menguji kamu semua, yang mana dalam kalangan kamu yang lebih baik amalnya. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” – Surah Al-Mulk, ayat 2

Daripada ayat di atas, jelaslah bahawa kita dihidupkan dan dimatikan, sebagai ujian bagi diri kita dalam amalan yang dilakukan. Salah suatu ujian dalam kehidupan ini adalah dalam soal menuntut ilmu dan mempratikkannya!

image

Kedua, kita secara umumnya telah sedia maklum tentang hakikat menuntut ilmu; yakni bahawa kita menuntut ilmu mestilah berniat ikhlas kerana Allah ‘Azza Wa Jalla, bukan dengan tujuan atau sebab lain sebagai sebab dan matlamat utama.

Maksud menuntut ilmu ikhlas kerana Allah Ta’ala ialah berhasrat menjadikan ilmu yang dipelajari untuk dimanefistasikan dalam mendekatkan diri kita kepada Allah, bukan sahaja dalam sudut ibadah khusus, malah menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah melalui pelbagai aspek. Ilmu juga dimanfaatkan untuk membantu orang lain selain menjadi ‘aset’ penting dalam hidup kita.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ka'ab Bin Malik radiallahu anhu, bahawa bapanya berkata, “Aku mendengar Rasulullah Sollallahu 'alahi wasallam bersabda”:

من طلب العلم ليجاري به العلماء أو ليماري به السفهاء أو يصرف به وجوه الناس إليه أدخله الله النار

Maksudnya: "Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk berdebat dengan para 'ulama(orang yang mengetahui ilmu tentang suatu bidang), atau untuk mempermainkan orang-orang bodoh, atau untuk mmengalihkan pandangan manusia kepadanya(demi mendapat pujian mereka), nescaya Allah akan masukkannya ke dalam neraka."

-- Hadis Riwayat Imam Tirmizi(2654), As-Suyuti(8840), Ibn Hibban(1/143); Dinilai gharib oleh Imam At-Tirmizi, sahih oleh Ibn Hibban dan hasan oleh As-Suyuti & Al-Abani --

image

Ketiga, apakah matlamat utama peperiksaan dan ujian dalam kehidupan? Dalam satu pepatah Cina, yang berbunyi:

The difference between school and life? In school, you're taught a lesson and then given a test. In life, you're given a test that teaches you a lesson.”

Hakikatnya, peperiksaan bukanlah bermatlamat untuk menguji kebijaksanaan seseorang, membuktikan siapa pandai, siapa tak pandai, tetapi untuk menguji sikap, kemahuan dan disiplin kita, selain kefahaman dan ingatan kita terhadap apa yang dipelajari.

Orang yang mampu menjawab kerana faham dan ingat banyak, dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, merupakan orang yang secara umumnya baik disiplinnya, bagus disiplinnya dan jelas kemahuannya akan ilmu.

Namun, terdapat segelintir yang menjadikan peperiksaan sebagai matlamat utama, menuntut ilmu untuk peperiksaan. Habis peperiksaan, dibuang atau dijual buku dengan beranggapan tamat peperiksaan, tamatlah sesi pembelajaran dengan subjek berkenaan.

image

Ya. Kita akui peperiksaan itu penting bagi menjamin masa depan kita yang lebih cerah, tetapi peperiksaan bukanlah segalanya. Terdapat sebahagian pelajar yang kurang daya ingatannya, maka dia tak mampu buat dengan baik seperti yang sebahagian pelajar lain, maka mendapat gred ‘B’ atau ‘C’.

Namun, realitinya dia mungkin mempunyai sikap dan keperibadian yang lebih baik daripada mereka yang memperoleh gred ‘A’, membuatkan dia mungkin lebih mudah dapat kerja.

Yang paling penting, kita yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan, melakukan usaha yang terbaik dalam menuntut ilmu dengan niat ikhlas, inshaAllah Dia akan mengurniakan kepada kita kejayaan dalam hidup, meskipun bukan dapat ‘A’ dalam semua subjek.

image

Konklusinya, sedarilah wahai insan yang bergelar pelajar, betulkan niat kita dalam menuntut ilmu. Fahamilah dengan jelas hakikat diri kita dalam menuntut ilmu. Ilmu hendaklah dituntut setiap hari, bukan pada musim peperiksaan, masa cuti dibiarkan kosong tanpa ilmu yang baru.

Sesungguhnya, Allah itu Maha Adil terhadap hamba-hambaNya. Rezeki berada di tanganNya, bukan di tangan manusia. Dialah yang membahagi-bahagikan nikmat dan rezeki kepada kita. Usah dirisaukan jika ‘gagal’ memperoleh ‘A’ dalam peperiksaan kerana ia bukanlah segala-galanya.

Akhir kalam, semoga Allah Ta’ala sentiasa merahmati kita dan mempermudah segala urusan kita dalam hidup yang sementara ini!

Smile

No comments: