Monday, March 1, 2010

Solat Berjemaahlah Wahai Kaum Lelaki!

http://www.jejariaccess.com/blog/wp-content/uploads/2009/07/solat-di-mana-jua.jpg

Solat berjemaah – satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam.Fadhilat  mengamalkannya sangat banyak yang sepatutnya direbut oleh umat Islam terutama kaum lelaki.Namun begitu, ramai dalam kalangan kita yang ambil mudah dalam perkara ini dan hanya solat berjemaah di masjid hanya ketika solat jumaat. Hal seperti ini sangatlah malang dan tidak sepatutnya berlaku:
“Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Shalat jamaah adalah lebih utama dari shalat fadz – yakni sendirian -dengan kelebihan duapuluh tujuh derajat." - Muttafaq 'alaih



Dalam hadis di atas, jelas menunjukkan betapa tingginya darjat orang yang menunaikan solat secara berjemaah berbanding solat secara sendirian. Dalam Hadis yang lain:
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Shalatnya seseorang lelaki dalam jamaah itu dilipat gandakan pahalanya melebihi shalatnya di rumahnya secara sendirian -munfarid - atau di pasarnya dengan duapuluh lima kali lipatnya. Yang sedemikian itu ialah kerana bahwasanya apabila seseorang itu berwudhu' lalu memperbaguskan cara wudhu'nya, kemudian keluar ke masjid, sedang tidak ada yang menyebabkan keluarnya itu melainkan kerana hendak bersembahyang, maka tidaklah ia melangkah sekali langkah, melainkan dinaikkanlah untuknya sederajat dan dihapuskan daripadanya satu kesalahan. Selanjutnya apabila ia bersembahyang, maka para malaikat itu senantiasa mendoakan untuknya supaya ia memperoleh kerahmatan Allah, selama masih tetap berada di tempat shalatnya, juga selama ia tidak berhadas. Ucapan malaikat itu iaiah: "Ya Allah, berikanlah kerahmatan pada orang itu; ya Allah, belas-kasihanilah ia." Orang tersebut dianggap berada dalam shalat, selama ia menantikan shalat - jamaah."- Muttafaq 'alaih. Ini adalah lafaznya Imam Bukhari.

Jelaslah bahawa besarnya fadhilat menunaikan solat secara berjemaah yang patut kita rebuti.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ada seorang lelaki buta matanya datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah,saya ini tidak mempunyai seorang pembimbing yang dapat membimbing saya untuk pergi ke masjid," lalu ia meminta kepada Rasulullah s.a.w. supaya diberi kelonggaran untuk bersembahyang di rumahnya saja, kemudian beliau s.a.w. memberikan kelonggaran padanya. Setelah orang itu berlalu, lalu beliau s.a.w. memanggilnya dan berkata padanya: "Adakah engkau mendengar azan shalat?" Orang itu menjawab: "Ya, mendengar." Beliau s.a.w. bersabda lagi: "Kalau begitu, kabulkanlah isi azannya itu." Maksudnya: Datanglah untuk mengikuti jamaah, kalau menghendaki banyak fadhilat. - Riwayat Muslim

Dalam Hadis yang lain:
Dari Abdullah, ada yang mengatakan: 'Amr bin Qais yang terkenal dengan sebutan Ibnu Ummi Maktum, seorang muazzin r.a. bahwasanya ia berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Madinah ini banyak sekali binatang melatanya - seperti ular, kala dan Iain-Iain - juga banyak binatang buasnya." Kemudian Rasulullah s.a.w. ber-sabda: "Apakah engkau mendengar ucapan Hayya 'alas shalah dan Hayya 'alal falah? - maksudnya: Apakah engkau mendengar bunyi azan? Kalau memang mendengar, maka marilah datang ke tempat berjamaah." Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad hasan. Hayyahalan ertinya marilah datang.

Dalam dua hadis di atas, ketahuilah bahawa hatta lelaki yang buta pun digalakkan oleh Rasulullah S.A.W untuk bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid kerana banyaknya fadhilat, apatah lagi kita yang tidak cacat penglihatan, amatlah dituntut untuk bersolat berjemaah di masjid jikalau tiada halangan. Kenapa solat berjemaah ini sangat dituntut?

http://farm4.static.flickr.com/3423/3228604658_d062e03750.jpg

Ketahuilah wahai insan, sebenarnya solat berjemaah itu mengingatkan kita kepada peristiwa agung yang pasti berlaku iaitu hari kiamat yang mana kita akan dikumpulkan di padang Mahsyar pada hari itu bagi menghitung amalan kita selama kehidupan kita di dunia ini. Hari kiamat akan berlaku pada hari Jumaat sepertimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W. Hal ini kerana, perkataan jumaat itu sendiri bermaksud berkumpul atau berhimpun. Oleh sebab itulah, disyariatkan pada hari Jumaat supaya ditunaikan solat Jumaat sebagai peringatan tentang hari Kiamat; gambaran himpunan manusia pada hari itu; yang datang berkumpul secara saf; sepertimana kita berada dalam saf ketika menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau atau musolla(tempat lapang). Nama lain bagi hari Kiamat sendiri pun ialah hari Perhimpunan atau berkumpul. Maka, jelaslah kita akan betapa pentingnya solat berjemaah ini kerana ia ternyata mengingatkan kita kepada peristiwa yang dahsyat itu lantas kita akan sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapinya.

Namun begitu, bukan semua solat dituntut dilakukan di masjid secara berjemaah. Kita perlu tahu bahawa kita dituntut melakukan solat berjemaah di masjid bagi solat wajib manakala solat sunat adalah lebih baik dikerjakan di rumah.
Dari Zaid bin Tsabit r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda: "Bersembahyanglah engkau semua, hai sekalian manusia, sebab sesungguhnya seutama-utama solat itu ialah shalatnya seseorang yang dikerjakan dalam rumahnya, kecuali solat yang diwajibkan." - Muttafaq 'alaih

Dalam hadis yang lain:
Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dari sebahagian solatmu - yakni yang sunnah - itu di rumahrumahmu sendiri dan janganlah menjadikan rumah-rumah itu sebagai perkuburan - yakni tidak pernah digunakan solat sunnah atau membaca al- Quran yakni sunyi dari ibadat." - Muttafaq 'alaih



Di sebalik fadhilat yang disediakan untuk orang yang menunaikan solat secara berjemaah, ada juga ancaman bagi orang yang sengaja meninggalkannya.
Dari Abu Hurairah r.a., bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, niscayalah saya telah bersengaja hendak menyuruh supaya diambilkan kayu bakar, lalu dicarikanlah kayu bakar itu, kemudian saya menyuruh supaya solat dilakukan dengan dibunyikan azan dahulu untuk solat .tadi, selanjutnya saya menyuruh seseorang lelaki untuk menjadi imamnya orang banyak - dalam solat jamaah itu, seterusnya saya sendiri pergi ke tempat orang orang lelaki - yang tidak ikut berjamaah - untuk saya bakar saja rumah-rumah mereka 'tu." - Muttafaq 'alaih

Lihatlah betapa dashyatnya ancaman yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W kepada orang-orang lelaki yang sengaja meninggalkan solat berjemaah sehingga mahu membakar rumah-rumah mereka. Agaknya bagaimana jika dikuatkuasakan di negara kita peraturan yang mana rumah akan dibakar bagi yang ada orang lelaki yang tidak ke masjid menunaikan solat berjemaah? Perlukah sampai ke tahap itu baru kita mahu menyahut suruhan Rasulullah S.A.W? Sedangkan terdapat banyak fadhilat yang ada di sebaliknya.

Firman ALLAH ‘Azza Wa Jalla:
“Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka. Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” – Surah At Taubah Ayat 17 dan 18

Dalam ayat di atas, jelas kita fahami bahawa hanya orang Beriman yang layak mengimarahkan masjid dengan pergi ke masjid dan tunaikan solat secara berjemaah, bukan orang munafiq, apatah lagi kafir.
Dari Ibnu Mas'ud r.a.,katanya: "Barangsiapa yang senang kalau menemui Allah Ta'ala besok - pada hari kiamat - dalam keadaan Muslim, maka hendaklah ia menjaga solat-solat fardhu ini di waktu ia dipanggil untuk mendatanginya - yakni jika sudah mendengar azan, sebab sesungguhnya Allah telah mensyariatkan kepada Nabimu semua s.a.w. beberapa jalan petunjuk dan sesungguhnya shalat-shalat itu adalah termasuk sebagian dari jalan-jalan petunjuk tersebut. Andaikata engkau semua sama bersembahyang dalam rumah-rumahmu sendiri sebagaimana shalatnya orang yang suka meninggalkan jamaah itu, yakni yang bersembahyang dalam rumahnya, niscayalah engkau semua telah meninggalkan sunnah Nabimu, selanjutnya jikalau engkau semua telah meninggalkan sunnah Nabimu, maka niscayalah engkau semua tersesat. Sungguh-sungguh saya telah melihat sendiri bahwa tidak ada seorangpun yang suka meninggalkan shalat-shalat – itu dengan berjamaah -melainkan ia adalah seorang munafik yang dapat dimaklumi ke-munafikannya. Sungguh ada pula seseorang itu yang didatangkan untuk menghadiri solat jamaah itu, ia disandarkan antara dua orang lelaki sehingga ia ditegakkan di dalam saf - karena ia mengetahui betapa besar fadhilahnya shalat berjamaah itu." - Riwayat Muslim\

http://jalinanmesra09.files.wordpress.com/2009/08/solat-jemaah.jpg

Dalam kehidupan pada hari ini, tidak dinafikan bahawa kita memang sibuk dengan urusan keduniaan sama ada belajar,  mencari nafkah dan sebagainya. Namun begitu, setidak-tidaknya kita hadirkan diri ke masjid atau surau untuk bersolat berjemaah sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sehari. Waktu yang sesuai ialah Maghrib, Isya’ dan Subuh yang mana kita agak mempunyai kelapangan. Justeru, kita haruslah menggunakan kesempatan yang ada ini untuk bersama-sama mengimarahkan masjid daripada suka memberikan alasan. Apatah lagi besar fadhilatnya solat berjemaah Subuh dan Isya’.
Dari Usman r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang mengerjakan solat Isya' dengan jamaah, maka seolaholah ia mendirikan solat separuh malam dan barangsiapa yang mengerjakan solat Subuh dengan jamaah, maka seolah-olah ia mendirikan solat semalam suntuk." - Riwayat Muslim

Dalam hadis yang lain:
Dari Abu Hurairah r.a. pula katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak ada suatu solat pun yang terlebih berat dirasakan oleh orang-orang munafik itu daripada solat Subuh dan Isya', tetapi andaikata mereka mengetahui betapa besar pahalanya kedua solat itu, niscayalah mereka akan mendatanginya sekalipun dengan berjalan merangkak - ke tempat jamaahnya." - Muttafaq 'alaih

Akhir kalam, tuntuan menunaikan solat wajib secara berjemaah di masjid ini lebih kepada kaum lelaki. Sebaliknya kaum wanita boleh juga bersama-sama mengikut tuntutan ini tetapi adalah lebih baik dielakkan fitnah jikalau wujud unsur-unsur tersebut.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya pertama-tama amalan yang seseorang itu di-hisab dengannya ialah solatnya, maka jikalau baik solatnya itu, sungguh-sungguh berbahagialah dan beruntunglah ia dan jikalau rosak, sungguh-sungguh menyesal dan merugilah ia. jikalau seseorang itu ada kekurangan dari sesuatu amalan wajibnya, maka Tuhan Azzawajalla berfirman: "Periksalah olehmu semua - hai malaikat, apakah hambaKu itu mempunyai amalan yang sunnah." Maka dengan amalan yang sunnah itulah ditutupnya kekurangan amalan wajibnya, kemudian cara memperhitungkan amalan-amalan lainnya itupun seperti cara memperhitungkan amalan shalat ini." - Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.

___________________________________________________________

Nota: Hadis-hadis di atas dipetik daripada Kitab Riyadus Salihin karangan Imam An Nawawi