Oleh: Tn Hj Zaharuddin Abd Rahman
Ada yang keliru melihat pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam stau-satu isu, sama ada isu yang melibatkan cabang aqidah, lebih lagi dalam isu hukum ibadah, muamalat dan sebagainya. Lebih mendukacitakan terdapat yang begitu 'tidak faham' atau sengaja 'buat-buat tidak faham' sehingga ke peringkat menuduh para ulama mencipta hukum halal dan haram menurut nafsu dan kehendak mereka sendiri, puak ini bukan sahaja menuduh dengan tuduhan sedemikian, malah menjustifikasikan tuduhan mereka dengan mengatakan mengatakan ulama ini telah mencabuli hak Allah yang boleh menetapkan hukum.
Kecetekan ilmu khususnya berkenaan Fiqh dan Usul Fiqh serta peranan dan tugas para ilmuan Islam adalah antara punca tuduhan liar sedemikian berlaku. Kejahilan ini menyebabkan ada sebahagian mereka mencerca ilmuan Islam sebagai 'ingin jadi tuhan' kerana mengharamkan sesuatu, khususnya apabila bertentangan dengan kesukaan mereka.
Memang benar, dalam Islam, seorang manusia tidak berhak untuk mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah dan RasulNya yang menentukan. Hakikatnya para ilmuan Islam sama sekali TIDAK boleh mengharam dan menghalalkan sesuatu berdasarkan nafsu dan selera mereka, malah mereka hanya menuruti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, melalui kefahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran, Hadis Nabi dan segala jenis tafsirnya berdasarkan konteks bahasa, sebab turun, konteks masa dan setempat dan lain-lain.
Selain itu, sebahagian kumpulan manusia yang lain pula keliru dan lebih suka mencela para ilmuan Islam disebabkan perbezaan pandangan mereka dalam sesuatu isu. Mereka dituduh tidak konsisten, mengelirukan dan pelbagai lagi. Lebih buruk, apabila orang awam ini merasakan pandangan mereka yang tidak didasari ilmu itu disangka lebih benar lalu mula mencerca imuan Islam yang tidak disukai mereka atau kesemuanya sekaligus.
Sebenarnya perbezaan ijtihad dalam hal ehwal hukum ini telah wujud sebelum imam-imam mazhab empat lagi, ia sudah pun bermula ketika hayat baginda nabi Muhammad s.a.w lagi. Terlalu banyak sebab dan punca kepada perbezaaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya. Ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai mengendalikannya. Di ruangan terhad ini saya ingin memberikan beberapa contoh sebab perbezaan itu berlaku, sejak zaman hayat Rasulullah s.a.w lagi, antaranya :-
SEBAB PERTAMA : ARAHAN NABI YANG BERBEZA UNTUK INDIVIDU TERTENTU
Sebagai contoh dalam isu fiqh ibadah, Imam Muslim meriwayatkan terdapat sahabat yang cacat pengelihatan mengatakan "Aku tidak punyai pemandu untuk ke masjid bagi solat berjemaah, maka berilah aku keizinan untuk menunaikannya di rumah sahaja" lalu baginda Nabi memberikannya izin.
Namun, apabila baginda mengetahui sahabat tersebut menetap berhampiran masjid sehingga boleh mendengar laungan azan, baginda menarik semula keizinannya.( Sohih Muslim, no 1486 )
Walaupun begitu, pernah diriwayatkan Nabi pernah memberi keizinan kepada seorang sahabat yang lain bernama 'Itban bin Malik, tanpa ditarik semula keizinan. ( Sohih Muslim, no 1496).
Kedua-dua arahan mempunyai latarbelakang kisah yang tersendiri. Maka para ulama mempunyai pendirian berbeza dalam menangapi kedua peristiwa ini sehingag memberi kesan kepada ijtihad dan cara mereka meletakkan hukum. Lalu perbezaan pendapat tersebar.
Begitu juga halnya Nabi pernah memberikan izin kepada Abu Bakar as-Siddiq untuk mendermakan keseluruhan hartanya, sedang nabi tidak mengizinkan seorang sahabat lain untuk melakukan hal yang sama. (Riwayat Abu Daud, no 1678 dan no 3319) Kedua-dua kes contoh ini bukan merupakan kes terpencil malah ia berlaku dalam kekerapan yang banyak.
Ia jelas menunjukkan Nabi memberikan arahan dan keputusan berbeza kepada orang yang berbeza. Kebiasaannya ia mempunyai hubung kait dengan latar belakang individu yang bertanya. Atas sebab ini, muncul ulama yang memberikan fatwa berbeza, disebabkan perbezaaan dalam mengambil dalil dan memahami konteksnya.
Jika ingin difahami, sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi membenarkan Abu Bakar as-Siddiq r.a menyedeqahkan keseluruhan hartanya kerana baginda mempunyai keyakinan terhadap keimanan Abu Bakar r.a, di samping yakin Abu Bakar mampu untuk terus istiqamah dengan Islam, tanpa memeinta-minta bantuan dari baginda Rasul, walau dalam keadaan seluruh harta telah disedeqah. Namun keyakinan yang sama tiada bagi individu yang kedua, menyebabkan nabi melarangnya. (The Differences of Imam, Syeikh Zakariyya An-Kandahlawi, White Thread Press, London, 2004, p. 22)
Sama keadaannya dalam kes sahabat bernama Hamza Ibn 'Amr Al-Aslami, beliau sudah terkenal dengan amalan berpuasa banyak. Tatkala beliau ingin bermusafir, beliau bertanya kepada Nabi, baginda menjawab:
Ertinya : "Kamu bebas sama ada untuk berpuasa atau berbuka" ( Al-Bukhari, no 1943)
Sedangkan dalam hadis lain, Nabi pernah menyebut :
Ertinya : " Tiada sebarang kebaikan untuk mengekalkan puasa tatkala dalam perjalan jauh" ( Muslim, no 2612 )
Kita dapat melihat, perbezaan fatwa dan ijtihad pasti wujud disebabkan dua arahan Nabi yang berbeza dalam dua situasi yang juga berbeza. Tentunya, kumpulan sahabat yang mengetahui dan mendengar jawapan Nabi kepada Hamza berbeza dengan kumpulan yang mendengar baginda di ketika melarang. Hasilnya, masing-masing akan membawa dan menyebarkan apa yang didengarinya kepada orang lain dan berterusan. Akhirnya, akan dapat dilihat dua hukum dalam satu isu.
Atas dasar itu, terzahir peranan, keperluan kepada kebijaksanaan dan kajian mendalam oleh para ulama dan ahli fiqh, iaitu bagi menentukan hukum yang lebih tepat bagi situasi yang berada di hadapannya, diwaktunya dan negaranya. Mereka akan menentukan sumber rujukan hadis dan latar di sebalik hadis terbabit, bagi mengeluarkan jawapan hukum yang paling sesuai bagi keadaannya.
SEBAB KEDUA : ARAHAN KHUSUS DILIHAT SEBAGAI ARAHAN UMUM
Terdapat juga ketikanya, Nabi s.a.w memberikan arahan khusus bagi individu tertentu, namun ia didengari oleh sahabat yang lain lalu menganggapnya sebagai arahan umum buat semu lalu menyebarkannya. sebagai contoh : -
Ibn Umar meriwayatkan bahawa nabi bersabda :
Ertinya : Mereka yang mati akan diazab kerana ratapan si hidup ( Al-Bukhari, no 1287 )
Isteri baginda Nabi s.a.w, 'Aisyah r.a menolak kandungan hadis ini dengan berpendapat ia adalah kes khusus untuk seorang wanita Yahudi sahaja. ( Al-Bukhari, no 1289 ) Aisyah juga membawakan ayat Al-Quran yang jelas menolak beban dosa si hidup ditanggung oleh si mati. Ini adalah satu kes yang jelas bagaimana arahan Nabi boleh dianggap oleh sekelompok ulama sebagai khusus, manakala yang lain mengambilnya sebagai umum untuk semua.
Selain itu juga berlaku kes, seorang sahabat nabi yang miskin bernama Sulayk al-Ghartafani, memasuki masjid di ketika khutbah sedang berjalan, Nabi s.a.w mengarahkannya untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat terlebih dahulu. (Sohih Muslim, no 2023)
Terdapat ulama yang memahami arahan Nabi itu sebenarnya adalah khusus untuk sahabat miskin ini sahaja, ia adalah kerana Nabi inginkan para sahabat yang lain dapat melihat tahap kemiskinan sahabat tersebut (sewaktu beliau solat), seterusnya tergerak untuk membantunya kelak. Atas keyakinan ini, mazhab Hanafi melarang sesiapa solat tahiyyatul masjid ketika khatib sedang berkhutbah. Fatwa tersebut berbeza dengan beberapa mazhab lain yang menggangap kebenaran tersebut adalah untuk semua umat Islam dan umum bukan khas untuk seorang sahaja.
Para sahabat Nabi yang berada di masjid ketika itu juga mempunyai perspektif berbeza terhadap arahan Nabi itu, lalu ada yang meriwayatkannya tanpa dikhusukan kepada apa-apa kes tertentu manakala ada yang memahami sebaliknya. Hasilnya, perbezaan pendapat dan ijtihad berlaku, sama ada di kalangan sahabat sendiri dan tentunya di zaman selepas itu.
Ibn Qutaybah di dalam kitabnya Ta'wil Mukhtalaf al-Hadis pernah membawakan kata-kata sahabat Imran al-Husayn ertinya :-
"Demi Allah, aku sedar aku boleh meriwayatkan cukup banyak hadis jika aku ingin, namun amalan yang dilakukan oleh kebanyakan sahabat menghalangku dari melakukannya...sepengetahuanku terdapat kekurangan (kurang tepat) dalam sebahagian penyampaian mereka."
Atas dasar ini, Khalifah Umar al-Khattab semasa pemerintahannya, melarang para sahabat meriwayatkan hadis dalam kadar yang terlalu banyak kerana dibimbangi ketidakfahaman mereka serta latar belakang mereka selaku para sahabat yang agak jauh dari Nabi serta kurang pakar dalam bab hukum, lalu boleh menyebabkan kefahaman mereka tersasar dari konteks sebenar lalu menambah kusut dan keliru. Atas sebab itu, kita dapat melihat hanya beberapa orang sahabat sahaja yang banyak meriwayatkan hadis seperti Abu Hurairah, Aisyah sendiri dan beberapa yang lain. Itu pun sekadar sukar untuk melebihi 5,000 hadis. (Tazkiratul Huffadz, Imam Shamsuddin Az-Zahabi, 1/7)
KETIGA : PERBEZAAN KEFAHAMAN DAN PERSEPI
Agak kerap juga berlaku, sesuatu ibadah nabi dilihat oleh ramai sahabat di waktu-waktu yang berlainan. Keadaan ini menghasilkan kefahaman yang berbeza-beza terhadap apa yang perlu dilakukan.
Sebagai contoh, di ketika nabi s.a.w menunaikan Haji, sebahagian sahabat mengatakan nabi melaksanakan Haji Ifrad kerana beliau mendengar nabi menyebut "Labbayka bi hajjatin" ertinya (Aku mempersembahkan diriku untukMu, Wahai Allah untuk melaksanakan haji" (Sunan an-Nasaiae dan Al-Bayhaqi, no 8830)
Ramai ahli hadis mengatakan jalur periwayatan hadis ini adalah sohih, namun begitu sebahagian sahabat lain pula meriwayatkan bahawa nabi melaksanakan Haji Qiran (Rujuk Sohih al-Bukhari, no 1563 ; Muslim no 2995)
Kedua-dua periwayatan ini kelihatan bertembung kerana kedua-dua jenis Haji adalah berlainan antara satu sama lain. Masalah membesar apabila haji Qiran juga boleh dimulakan dengan lafaz yang sama. Di ketika itulah wujudnya peranan ulama Mujtahid sama ada dari kalangan sahabat Nabi atau selepasnya. Mereka bertanggungjawab untuk mengharmonikan nas-nas yang kelihatan bertembung ini dan menjelaskan kekeliruan.
Sa'id Ibn Jubayr seorang ulama besar di kalangan tabien, pernah menegaskan kekeliruan seperti ini kerap berlaku sebagai contoh, ketika nabi berada di Miqat di dhul khulayfa untuk memulakan ihram, baginda menunaikan solat sunat dua rakaat di dalam masjid dan memulakan ihramnya. Maka sebahagian sahabat yang dapat melihat perlakuan nabi itu, kemudiannya ketika Nabi menaiki untanya, dan sewaktu unta ingin bergerak Nabi menyebut "labbayk" , di ketika itu sudah pasti ramai yang berada di sekeliling Nabi dan mendengar baginda melafazkan kalimah itu.
Di sebabkan ramainya sahabat di sekeliling baginda, maka tidak semua dapat mendengar dengan jelas, kemudian, di ketika nabi berada di punca Bayda, sekali lagi baginda melafazkan Labbayk secara kuat. Semua sahabat yang mendengar pada setiap kali nabi mengucapkannya akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan yang lain, kerana ada yang mendengar buat pertama kali dan ada yang mendengar buat kali ketiga dan kedua. Keadaan itu adakalanya boleh menyebabkan perbezaan dalam meyimpulkan hukum dan sunnah.
Abdullah ibn Abbas adalah antara yang mendapat gambaran paling jelas tentang tatacara nabi menunaikan haji, beliau dikira sebagai salah seorang ulama mujthad di kalangan sahabat yang perlu diriujuk bagi mendapatkan penjelasan dan panduan yang tepat.
Selepas zaman sahabat, para ulama mujtahid sentiasa mempunyai maklumat yang lebih jelas, namun begitu, ia tidak dapat mengelak dari perbezaan persepsi yang akhirnya membawa kepada kesimpulan hukum yang berbeza.
KEEMPAT : SATU PERKATAAN YANG MEMPUNYAI PELBAGAI MAKSUD
Sudah menjadi kebiasaan dalam apa jua bahasa, satu perkataan boleh sahaja mempunyai dua tiga atau lebih maksud. Sama ada perbezaan itu berdasarkan bahasa rasmi dan persuratan ataupun terpenegaruh oleh dialek setempat.
Dalam hal ini, perkataan wudhu adalah jelas merupakan perbuatan ibadah khusus untuk menunaikan solat dan memegang Al-Quran. Namun begitu, dari sudut bahasanya, wudhu juga membawa maksud membersih dan membasuh tangan dan boleh membawa maskud wudhu pada istilah ibadah.
Imam At-Tirmidzi menyebut dalam kitab beliau Shamail, Seorang sahabat bernama Salman satu hari bertanya kepada Nabi, katanya menurut kitab Taurat, wudhu selepas makan boleh membawa berkat, lalu beliau meminta ulasan dari baginda Nabi. Nabi kemudiannya menjawab :
"Wudhu sebelum dan juga selepas makan adalah sumber keberkatan dalam makanan tersebut" (Shamail, no 186 )
Di dalam hadis yang disebutkan oleh Salman ini, majoriti ulama berpendapat lafaz 'wudhu' yang digunakan merujuk kepada erti asalnya iaitu basuhan tangan dan bukan wudhu pada istilah Fiqh (iaitu basuhan beserta niat bermula dari wajah dan seterusnya).
Demikian juga sebuah dalam situasi yang direkodkan oleh Bazzar, bahawa sahabat nabi Muadz r.a ditanya : Adakah kamu mengambil wudhu selepas menikmati makanan yang dibakar oleh api?? : Beliau menjawab : "Kami hanya membasuh tangan dan mulut sahaja" namun ia dilafazkan sebagai wudhu.
Keadaan ini menyebabkan para ulama mazhab boleh berbeza ijtihad dalam menentukan sama ada perlu berwudhu dalam bentuk ibadah khusus setiap kali selepas menikmati makanan yang dibakar di atas api atau hanya perlu membasuh mulut dan tangan?. Majoriti berpegang kepada erti wudhu secara bahasa iaitu basuhan sahaja, namun terdapat ulama yang berpandangan selainnya.
Bersandarkan kepada sebab-sebab yang dinyatakan di atas dan banyak lagi sebab yang lain, hukum di dalam pelbagai bab dan bidang hukum juga turut terkesan. Lalu muncul pandangan dan ijtihad yang berbeza dari seorang alim kepada yang lain.
Orang ramai tidak perlu merasa pelik dan susah hati dengannya. Apa yang perlu, serahkan urusan kepada mereka yang pakar dan ahli di dalam bidang mereka. Jika orang awam sudah mula berfatwa bersandarkan satu dua hadis atau ayat, dan kemduian merasa diri lebih benar dari kefahaman mendalam dan kajian khusus oleh para ilmuan, itulah tanda kehancuran akan mendatang.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
9 Mac 2010
Sumber: www.zaharuddin.net
No comments:
Post a Comment