Monday, December 29, 2008

PPSMI: Perspektif seorang pelajar sekolah

Saya merupakan seorang pelajar yang mana bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2009. Ketika ini orang ramai agak heboh juga memperkatakan tentang isu pengajaran & pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Sebagai seorang pelajar yang agak mengambil berat tentang isu-isu semasa serta keadaan sekeliling, saya berasa seperti terpanggil untuk menceritakan pandangan saya terhadap pelaksanaan PPSMI ini.

Saya mula mempelajari kedua-dua subjek ini dalam Bahasa Inggeris ketika berada di tingkatan 1 dan secara jujurnya saya memang merasakan PPSMI memang membebankan saya ketika itu. Secara jujurnya juga, saya memang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan sejak tahun 2003 ini. Hal ini kerana saya berpendapat kita sebagai rakyat Malaysia yang mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sepatutnya memartabatkan bahasa ini, bukannya bahasa lain. Negara-negara lain seperti Jepun memartabatkan bahasa ibunda mereka. Saya faham bahawa pada zaman globalisasi ini, pembelajaran di IPT dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Inggeris amat penting dalam kehidupan. Para pelajar di kawasan bandar memang boleh mengikuti PPSMI dengan baik . Namun begitu, para pelajar di sekolah kawasan luar bandar yang menerima padahnya. Perkara ini dilihat seperti tidak adil bagi mereka dari aspek kemanusiaan.

Saya juga membantah sekeras-kerasnya sekiranya kerajaan berhasrat menamatkan pelaksanaan PPSMI ketika mana kami para pelajar sudah biasa mempelajari kedua-dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris. Kami sudah pastinya akan mengalami ‘shock-culture' sekiranya kerajaan mengambil keputusan tersebut secara tiba-tiba. Pada pendapat saya, sekiranya kerajaan tetap berhasrat menamatkan pelaksanaan PPSMI, ia sepatutnya bagi para pelajar yang akan mula bersekolah di tahun satu manakala para pelajar yang sudah mula mempelajari kedua-dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris mereka akan teruskan mempelajarinya dalam Bahasa Inggeris sehingga SPM.

Walau apapun, saya cuma berharap kerajaan akan mengambil tindakan yang terbaik demi kebaikan rakyat dan negara, bukan menurut kepentingan peribadi dan sebagainya. Saya akui sememangnya setiap tindakan ada pro kontranya. Jadi, kuasa terletak di tangan kerajaan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan semua pihak.

2 comments:

Anon said...

Orang-orang Inggeris pernah dijajah oleh kuasa asing. Pada ketika itu mereka menggunakan bahasa Latin sebagai bahasa ilmu. Orang-orang Inggeris meninggalkan bahasa Latin kerana ia bahasa penjajah dan ia tidak dapat membantu memperkasakan orang-orang Inggeris. Orang-orang Inggeris mula maju selepas mereka menggunakan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu. Di Malaysia agak pelik sedikit kerana ramai yang suka mengambil langkah mengundur ke belakang. Orang Melayu meninggalkan bahasa Melayu dalam mengajar sains dan matematik supaya kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris. Ada yang mengeluarkan hujah dangkal di mana PPSMI perlu kerana banyak sumber ilmu dalam bahasa Inggeris. Ini termasuklah buku-buku, jurnal-jurnal dan sebagainya. Idea sebegini amat ganjil kerana ia tidak menyentuh langsung tentang menterjemah buku-buku, artikel-artikel jurnal dan bahan-bahan lain yang berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Ada orang Melayu yang mempunyai kelebihan mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di samping sains dan matematik. Mereka inilah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja menterjemah. Dimanakah pula galakan kepada cerdik pandai Melayu untuk menulis lebih banyak bahan ilmu dalam bahasa Melayu?

Amalin said...

adakah dengan adanya PPSMI itu kita seperti mengundur di belakang?.Saya tak rasa PPSMI itu perlu dibubarkan kerana terdapat banyak lagi sumber yang boleh diguna untuk memartabatkan lagi bahasa ibunda kita.Tidak hanya dalam proses pembalajaran sahaja.Saya merupakan seorang peljar dan saya tahu apa yang berlaku di sekeliling saya.Remaja sekarang memang gemar membaca novel Bahasa Melayu.BUkankah itu salah satu cara karyawan-karyawan negara membantu memartabatkan bahasa kita?