Monday, October 31, 2011

Murtad: Di Mana Silapnya?

image

Sebenarnya saya agak ‘confused’ nak letak tajuk apa bagi artikel cetusan pemikiran kali ini, namun, fokusnya satu – gejala murtad dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Dah lama sebenarnya nak karang pasal ini, cuma idea tak tercetus secara ‘lengkap’. Alhamdulillah, sekarang rasa ok nak sebut pasal hal ini mengikut perspektif saya sebagai umat Islam yang masih kurang ilmu, yang pastinya orang boleh terima, boleh tak nak terima. Terpulang.

Soalan yang sering diajukan oleh masyarakat: Kenapa berlakunya kes-kes murtad dalam kalangan umat Islam pada akhir zaman ini? Apakah puncanya? Salah siapa?

Pertama, saya ingin menyebut tentang punca utama yang paling besar dalam hal ini iaitu berkenaan soal aqidah umat Islam. Kita boleh lihat dengan jelas menerusi media massa sama ada televisyen, internet dan akhbar, berlakunya ‘krisis’ aqidah melalui lambakan cerita seram, gejala bomoh dan dukun serta penularan ‘hadis’ palsu terutama berkenaan fadhilat dan ancaman sesuatu amalan. Ketiga-tiga perkara ini sangat berkait rapat dengan aqidah umat Islam.

Melalui cerita seram, sebahagian umat Islam seolah-olah percaya ‘wujudnya’ kuasa ghaib atau kuasa luar yang mampu memudaratkannya walaupun pada masa yang sama mengakui Allah ‘Azza Wa Jalla itu Tuhan mereka. Saya menyokong cadangan pihak yang menyeru agar filem-filem seperti ini diharamkan, kerana bukan sahaja merugikan umat Islam, tetapi turut mencacatkan pemikiran manusia.

Sebahagian umat Islam juga suka berjumpa bomoh atau dukun yang bisa menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, tanpa berdoa kepada Allah Ta’ala dengan penuh pengharapan bahawa Dialah Maha Berkuasa atas segalanya, walaupun mereka bersolat setiap hari. Pelikkah perkara ini wahai saudaraku yang membaca? Perkara ini tidak pelik.

Berlaku juga perkara-perkara khurafat seperti ‘menyembah’ kubur tok wali dan sebagainya, dan beranggapan yang telah mati itu mampu menolong mereka. Saya teringat pernah kebetulan menonton suatu drama Indonesia, seorang perempuan pergi ke kubur ayahnya dan mengadu masalah yang berlaku dalam hidupnya serta memohon pertolongan. Ini sangatlah bahaya kepada anak-anak muda yang menontonnya yang masih terkontang-kanting dalam kefahaman agama terutama aqidah.

image

Dewasa ini, kita mendapati penularan ‘hadis’ palsu terutama berkenaan fadhilat dan ancaman sesuatu amalan semakin berleluasa. Macam2 jenis fadhilat dan ancaman sesuatu amalan disebarkan tanpa bersandarkan kepada nas Al Quran dan hadis. Dengan adanya kemudahan perhubungan seperti social network Facebook dan sebagainya, merancakkan lagi perkara ini. Perkara asas yang sepatutnya diketahui dan difahami oleh semua orang Islam: segala kebaikan dan keburukan yang berlaku atau diperoleh hanya dengan kehendak Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Justeru, segala fadhilat atau ancaman sesuatu amalan, tidak dapat tidak mesti bersandarkan kepada Firman Allah itu sendiri atau kepada wahyu yang diutuskan kepada Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam menerusi hadis. Oleh itu, tiada pihak boleh mendakwa, melakukan suatu amalan bisa membuatkannya masuk syurga tanpa hisab. Malangnya, sesetengah umat Islam masih suka menyebarkan fadhilat atau ancaman palsu ini walaupun ditegah.

Kenapa berlakunya ‘kepincangan’ dalam aqidah umat Islam itu sendiri? Secara peribadi, ingin saya katakan, menerusi sistem pendidikan yang diamalkan sekarang ini, soal tauhid atau aqidah agak kurang diberi penekakan dalam sukatan pembelajaran pendidikan Islam, sedangkan aqidah itu sangat penting bagi umat Islam faham dengan jelas hakikat kehidupan sebagai hamba Allah di dunia yang sementara ini menuju akhirat yang kekal selamanya.

Yang diberi penekanan ialah soal ibadah. Ya.. ibadah itu penting, tetapi beribadah dengan aqidah yang tak berapa betul mengakibatkan amalan menjadi sia-sia. Contohnya seseorang yang banyak menunaikan solat sunat, tetapi pada masa yang sama, dia pergi berjumpa bomoh atau dukun apabila ingin menilik nasib atau memohon pertolongan bagi menyelesaikan masalah, maka sia-sialah amalannya.

image

Daripada sebahagian isteri Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa baginda bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahu ilmu ghaib dan bertanya kepadanya sesuatu, maka tidak akan diterima solatnya selama 40 malam   – Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim [no. 4137] -

Hal aqidah ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri Radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

من قال : لا إله إلا الله مخلصا دخل الجنة

Maksudnya: “Barangsiapa mengucapkan Kalimah Laa ilaaha illallah dengan penuh keikhlasan, maka dia akan masuk syurga” – Hadis Riwayat Imam As-Suyuti; Dinilai sahih oleh Al-Albani [no. 8896] -

Maka, soal aqidah mesti diberi penjelasan selengkapnya kepada umat Islam khususnya anak-anak muda agar mereka tidak terjebak dengan gejala syirik dan khurafat serta berkemungkinan terpesong aqidahnya sehingga menyebabkan mereka murtad. Kemudian, barulah diberi penekanan terhadap soal ibadah, beramal dengan ibadah yang jelas bersandarkan kepada utusan Allah ‘Azza Wa Jalla, Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam.

Mungkin betul mungkin salah, saya dapati kebanyakan ceramah atau kuliah agama menekankan soal fiqh atau ibadah, dan kurangnya penekanan dalam soal aqidah. Lebih malang lagi, umat Islam ‘keliru’ dengan sikap  sesetengah pihak melabelkan sesetengah pihak lain sebagai ‘sesat’, bahkan ‘kafir’ pun ada, tanpa hujah yang kukuh.

image

Kedua, tidak dinafikan berlakunya ‘gerakan’ atau ‘usaha’ yang dilakukan oleh orang bukan Islam khususnya orang Kristian dalam memurtadkan umat Islam. Seperti yang telah panjang lebar dihuraikan di atas, akibat pegangan aqidah yang tidak berapa mantap, mereka mudah diperdaya dengan dakyah yang dilakukan termasuklah dengan bantuan yang diberikan oleh pihak gereja dan sebagainya.

Suka untuk saya berikan satu perumpamaan:

Ahmad merupakan ahli dan penyokong setia parti A, tetapi dia tinggal di negeri yang diperintah oleh parti B. Menjelang pilihan raya umum, pihak parti B berkempen dengan memberikan saguhati RM100 kepada penduduk di kawasan dewan undangan negeri(DUN) yang sebelum ini dimenangi oleh calon parti A dan kebetulan Ahmad tinggal di DUN berkenaan, maka dia terima ‘gula’-gula’ itu yang bertujuan nak pancing undi. Namun, sayangnya, Ahmad seorang yang intelektual dan sedar ketidaktelusan parti B dalam memerintah, berlaku banyak penyelewengan dan salahguna kuasa, selain tahu parti A jujur memperjuangkan nasib rakyat, maka dia langsung tak termakan dengan wang yang diberikan itu, namun tetap bersyukur ke hadrat Allah atas rezeki yang dterima itu.

Jadi, sekiranya umat Islam mempunyai latar belakang aqidah yang mantap, apa jua dakyah serta bantuan yang diberikan pihak bukan Islam tidak menjejaskan keyakinan mereka terhadap kebenaran Islam. Meskipun diberikan bantuan daripada pihak ini, dek masalah birokrasi pusat zakat dan baitulmal yang 'susah’ nak bagi bantuan, mereka tetap dengan pendirian mereka untuk bersama Islam. Mereka tetap terhutang budi dengan pihak ini, tetapi pada masa yang sama, mereka sedar rezeki itu datangnya daripada Allah, barangkali Allah mahu memberikan rezeki kepada mereka melalui jalan orang Kristian, bukannya daripada umat Islam.

Konklusinya, kita tidak seharusnya suka menunding jari kepada orang bukan Islam atas usaha mereka merosakkan aqidah umat Islam, padahal penerapan aqidah dalam kalangan umat Islam itu sendiri sangatlah kurang dan tak diberi penekanan. Maka, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing ke arah pemantapan aqidah umat Islam, baik seorang ‘ulama, cikgu, pensyarah ataupun pemimpin politik.

No comments: