Friday, November 14, 2014

Defending hadith as authority - Part 1

Secara umumnya, hadith merupakan penerangan atau penjelasan; dan sistem perundangan tambahan kepada al-Quran.

Namun, dewasa ini, terdapat banyak pihak yang bangkit mempersoalkan kedudukan hadith Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi pegangan utama umat Islam selepas al-Qur’an, baik dari golongan mubaligh Kristian, atheist, syiah malah dari segelintir Muslim yang menolak hadith yang sering digelar Quranist.

Sebahagian umat Islam yang membaca atau mendengar kata-kata dan hujah mereka kadangkala terpengaruh dan seakan menerimanya, dek kekurangan atau kosong tentang ilmu hadith yang sangat hebat lagi unik ini. Maka, kita sebagai pendakwah mempunyai peranan yang besar dan penting untuk mendidik masyarakat Muslim ke arah memahami agama dengan lebih mendalam, khususnya mengenai hadith dan sunnah nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam.

Hanya menunding jari ke arah golongan yang menyerang dan mengkritik Islam tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia menampakkan lagi kelemahan kita dalam merealisasikan misi dakwah yang bersifat rahmat ke seluruh alam.

Hadirnya seorang insan yang diberikan wahyu oleh Allah Subahanahu wa Ta’ala sebagai utusan-Nya di muka bumi ini, bukanlah sekadar menyampaikan Kalamullah, tetapi juga sebagai pembimbing dan pendidik manusia ke jalan yang benar. Kata-katanya yang bukan dari Allah juga menjadi sumber rujukan dan panduan untuk kehidupan seharian kita.

Allah Ta’ala berfirman dalam surah al-Maidah;
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَٱحۡذَرُواْ‌ۚ فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلۡبَلَـٰغُ ٱلۡمُبِينُ
Maksudnya: “Taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata” – QS5:92

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ‌ۚ فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَإِنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلۡبَلَـٰغُ ٱلۡمُبِينُ
Maksudnya: “Taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata” – QS64:12

Dalam dua ayat ini memang disebut oleh Allah bahawa kewajipan Rasul sebagai penyampai, namun konteks ayat ini adalah ketika mana manusia enggan menerima dan menolak kebenaran, maka akhirnya tugas Rasul itu bukanlah pemberi hidayah, tetapi menyampaikan kebenaran yang jelas lagi nyata.


Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah ‘Azza Wa Jalla dalam surah an-Nahl:
بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَٱلزُّبُرِ‌ۗ وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلذِّڪۡرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيۡہِمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya” – QS16:44

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡ‌ۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِى مَن يَشَآءُ‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ
Maksudnya: “Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” – QS14:4

Dalam dua ayat ini menjelaskan tugas para Rasul bukanlah hanya menyampaikan ayat-ayat Allah yang diwahyukan, tetapi memberikan penerangan dengan lebih terperinci dan jelas untuk kefahaman umat manusia, bukan hanya untuk Muslim, tetapi juga bukan Muslim, sebagaimana yang disebut dalam surah al-Baqarah:
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ
Maksudnya: “Bulan Ramadan itu(yang disyariatkan berpuasa) diturunkan dalamnya al-Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza antara kebenaran dan kebatilan…” – QS2:185

Al-Quran itu sememangnya petunjuk untuk manusia, buat orang Islam sebagai pedoman hidup, juga untuk orang bukan Islam untuk membuka mata hati mereka akan kebenaran dan hakikat kehidupan ini. Maka, dari ayat inilah dapat kita fahami peranan umat Islam untuk berdakwah kepada orang bukan Islam dengan menyampaikan ayat-ayat Allah.

Berbalik kepada peranan Rasul sebagai pemberi penjelasan. Kita boleh memberikan analogi seorang guru dan buku teks. Tiada seorang guru yang mengajar anak didiknya, hanya bercakap berdasarkan buku teks yang menjadi sumber rujukan. Sebaliknya, dia turut menambah isi dan maklumat daripada dirinya sendiri untuk memberi penjelasan dan kefahaman yang lebih jelas kepada mereka.

Begitulah juga Rasul. Al-Quran menyuruh untuk kita mengerjakan solat dan disebut dalam beberapa ayat tentang rukun solat seperti sujud dan ruku’, Rasul sebagai mahaguru umat yang menerangkan secara terperinci tentang tatatertib dan kaedah solat.

Seorang guru juga apabila menemui pelajarnya yang gagal dalam peperiksaan akan menegaskan bahawa tugasnya hanyalah menyampaikan ilmu yang berasaskan buku teks yang digunapakai, dan dia berlepas diri daripada kegagalan anak didiknya itu. Begitulah juga Rasul, seperti dalam 2 ayat tadi.
Selain itu, Rasul juga berperanan untuk mengajar umat manusia akan hikmah dalam kehidupan. Dalam surah al-Jumu’ah, Allah menyebut:
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬
Maksudnya: “Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata” – QS62:2

Terdapat dua maksud hikmah yang disebut dalam al-Qur’an. Pertama, hikmah dalam erti kata kefaqihan, wisdom dan sebagainya. Contohnya dalam surah al-Baqarah;
يُؤۡتِى ٱلۡحِڪۡمَةَ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِڪۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِىَ خَيۡرً۬ا ڪَثِيرً۬ا‌ۗ وَمَا يَذَّڪَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Maksudnya: “Diberikan hikmah (kebijaksanaan atau ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya” - QS2:269

Satu lagi maksud hikmah dalam al-Quran adalah hadith, apabila bergandingan dengan kalimah kitab sebagai apa yang diturunkan oleh Allah. Contohnya dalam surah an-Nisa’:
وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكَ وَرَحۡمَتُهُ ۥ لَهَمَّت طَّآٮِٕفَةٌ۬ مِّنۡهُمۡ أَن يُضِلُّوكَ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَہُمۡ‌ۖ وَمَا يَضُرُّونَكَ مِن شَىۡءٍ۬‌ۚ وَأَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمۡ تَكُن تَعۡلَمُ‌ۚ وَكَانَ فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكَ عَظِيمً۬ا
Maksudnya: “Kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasilah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah, dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar” - QS4:113

Namun, golongan mubaligh Kristian contohnya seringkali mengkritik hadith menggunakan ayat al-Quran yang mana menyebut bahawa al-Quran itu sendiri telah lengkap, maka apakah perlu lagi hadith, seperti ayat dalam surah al-An’am:
وَمَا مِن دَآبَّةٍ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَا طَـٰٓٮِٕرٍ۬ يَطِيرُ بِجَنَاحَيۡهِ إِلَّآ أُمَمٌ أَمۡثَالُكُم‌ۚ مَّا فَرَّطۡنَا فِى ٱلۡكِتَـٰبِ مِن شَىۡءٍ۬‌ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّہِمۡ يُحۡشَرُونَ
Maksudnya: “Tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)” QS6:38

Dalam ayat lain dalam surah al-A’raf:
وَلَقَدۡ جِئۡنَـٰهُم بِكِتَـٰبٍ۬ فَصَّلۡنَـٰهُ عَلَىٰ عِلۡمٍ هُدً۬ى وَرَحۡمَةً۬ لِّقَوۡمٍ۬ يُؤۡمِنُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman” – QS7:52

Seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini, kalimah hikmah digunakan dalam al-Quran dalam beberapa ayat seperti dalam surah an-Nisa’ yang disebutkan di atas membawa maksud hadith. Maka, kita dapat fahami bahawa al-Quran itu menjadi lengkap dengan adanya hadith.

Dan, harus kita jelas bahawa istilah itu tidak penting, yang lebih penting adalah maksud atau kandungannya. Contohnya, kita memberikan nama satu institusi sebagai sekolah, tetapi aktiviti atau program di dalamnya bukan mendidik masyarakat, sebaliknya merosakkan, maka tiada guna ia dipanggil sekolah. Sama juga seperti situasi ini, yang pentingnya bukan istilah hadith, sunnah atau hikmah tetapi maksudnya adalah ajaran Rasul yang bukan wahyu daripada al-Quran.

Kita juga dapat memahami dengan lebih jelas menggunakan analogi guru dan buku teks yang sama seperti yang disebutkan di atas, yang mana bukan semua benda yang disebut oleh guru berkenaan ada dalam buku teks, tetapi kita fahami ia adalah pelengkap kepada buku teks, bahkan tertulis juga dalam buku teks untuk kita merujuk sumber-sumber tambahan.

Point yang terakhir yang ingin disebutkan ialah perkara yang boleh dikatakan kompilasi kepada semua tugas atau peranan Rasul yang telah dijelaskan sebelum ini, yang mana firman Allah yang sangat terkenal dalam surah al-Ahzab:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”- QS33:21

Rasulullah yang diutuskan kepada kita adalah seorang manusia seperti kita, yang hidup sebagaimana cara kita hidup. Maka tindak tanduk dan perkataan baginda menjadi teladan dan contoh buat diri kita, baik dari sudut ibadah mahupun muamalat.

Perbuatan dan kata-kata baginda selain daripada Quran inilah yang diriwayatkan oleh para sahabat yang ‘adil, sampai kepada kita melalui rangkaian sanad dalam ilmu hadith yang sangat tersusun lagi disiplin. Para sahabat radiallahu ‘anhum itu dipuji dan diangkat martabat mereka di sisi Allah ‘Azza Wa Jalla.

Allah berfirman:
مُّحَمَّدٌ۬ رَّسُولُ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُ ۥۤ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَہُمۡ‌ۖ تَرَٮٰهُمۡ رُكَّعً۬ا سُجَّدً۬ا يَبۡتَغُونَ فَضۡلاً۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٲنً۬ا‌ۖ سِيمَاهُمۡ فِى وُجُوهِهِم مِّنۡ أَثَرِ ٱلسُّجُودِ‌ۚ ذَٲلِكَ مَثَلُهُمۡ فِى ٱلتَّوۡرَٮٰةِ‌ۚ وَمَثَلُهُمۡ فِى ٱلۡإِنجِيلِ كَزَرۡعٍ أَخۡرَجَ شَطۡـَٔهُ ۥ فَـَٔازَرَهُ ۥ فَٱسۡتَغۡلَظَ فَٱسۡتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِۦ يُعۡجِبُ ٱلزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِہِمُ ٱلۡكُفَّارَ‌ۗ وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِنۡہُم مَّغۡفِرَةً۬ وَأَجۡرًا عَظِيمَۢا
Maksudnya: “Muhammad itu ialah Rasul Allah; Orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar” – QS48:29

Dalam ayat yang lain:
لَّقَد تَّابَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلنَّبِىِّ وَٱلۡمُهَـٰجِرِينَ وَٱلۡأَنصَارِ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ فِى سَاعَةِ ٱلۡعُسۡرَةِ مِنۢ بَعۡدِ مَا ڪَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ۬ مِّنۡهُمۡ ثُمَّ تَابَ عَلَيۡهِمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ بِهِمۡ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka” – QS9:117

No comments: