Saturday, June 13, 2009

Pandangan Saya: Bahasa Inggeris Wajib Lulus SPM

Saya lihat sejak akhir-akhir ini banyak perubahan dan rombakan ingin dilakukan dalam peperiksaan SPM. Sebagai seorang calon SPM tahun ini saya agak hairan dengan situasi. Bukannya saya tidak suka atau apa cuma sebaiknya jika ingin melakukan perubahan atau rombakan biarlah kumpulkan segala cadangan perkara yang ingin dirombak atau diubah barulah dibincangkan.Bukannya kejap satu kemudian timbul yang lain kemudian timbul lagi cadangan lain.Tapi tak mengapalah saya cakap saja tu.

Secara jujurnya, sekiranya saya diberi kuasa untuk menentukan sama ada cadangan yang dikemukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ini diluluskan ataupun tidak, saya tidak akan meluluskannya kerana saya kurang bersetuju dengan pelaksanaan dasar baru yang dicadangkan ini.

Saya akui memang ada kebaikan juga jika Lulus Bahasa Inggeris dalam dijadikan syarat untuk mendapat sijil penuh SPM. Namun seperti biasa setiap pelaksanaan sesuatu perkara mesti ada pro kontranya. Bagi saya, kontranya nampak lebih kuat berbanding pronya.

Setahu saya di Malaysia majoriti para pelajar adalah terdiri daripada pelajar luar bandar. Seperti yang kita sedia maklum, para pelajar luar bandar kurang menguasai bahasa Inggeris. Jadi, dengan mewajibkan semua calon SPM lulus Bahasa Inggeris bisa membebankan mereka.

Memang mungkin dengan pelaksanaanya boleh memangkin kepada semangat mereka untuk terus berusaha dan memantapkan penguasaan mereka terhadap bahasa Inggeris tetapi tidak semua yang akan begitu, hanya segelintir akan lebih berasa semangat untuk belajar bagi memantapkan Bahasa Inggeris. Memanglah bagi kita yang berfikiran positif mengganggap mereka akan lebih berusaha dengan terlaksananya dasar ini namun hakikatnya tidak semua yang lebih berusaha malah mungkin ada yang patah semangat.

Mungkin harapan kita dengan terlaksananya dasar ini, penguasaan para pelajar terhadap bahasa Inggeris akan meningkat tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.Tetapi saya cuma mengagak sahaja.

Walau bagaimanapun, saya tidak begitu kisah sama ada cadangan ini dilaksanakan ataupun tidak namun kerajaan harus meniliti dengan sebaiknya cadangan ini sebelum melaksanakannya kerana sekiranya berlaku kesilapan tindakan bakal memberikan kesan negatif kepada pelajar dan seterusnya kepada perkembangan pembangunan negara.Saya tidaklah menentang pelaksanaan dasar ini namun sekiranya pelaksanaan dasar ini sememangnya diyakini mampu meningkatkan penguasaan pelajar terutama pelajar luar bandar dalam Bahasa Inggeris, saya menyokong pelaksanaan dasar ini.

Seperti biasa, setiap orang ada pendapat yang tersendiri kerana diiferent body, different opinion. Yang pentingnya bagi saya, pihak kerajaan akan membuat pilihan yang terbaik untuk kebaikan semua pihak.Wassalam.

No comments: