Tuesday, December 28, 2010

Mengingati Hari Kiamat - Bahagian 1

*Artikel paling popular di blog ini setakat ini. Diposkan kembali untuk pembacaan & penghayatan

Hari Kiamat – suatu peristiwa yang pasti berlaku. Hari agung yang sangat dahsyat dan menggerunkan ini mempunyai pelbagai nama. Seperti mana manusia yang mempunyai banyak panggilan, nama dan gelaran maka dia adalah seorang yang hebat pada pandangan manusia. Begitu juga dengan hari kiamat yang mempunyai lebih 20 nama baginya. Ia jelas sekali menunjukkan betapa hebatnya peristiwa ini yang pasti akan berlaku kelak. Sebagai seorang muslim, kita wajib beriman dengan hari kiamat. Jika kita lihat, ungkapan ‘beriman dengan ALLAH dan hari kiamat’ banyak digandingkan bersama dalam Al Quran. Kenapa? Barangsiapa yang beiman dengan sebenar-benarnya dengan ALLAH dan Hari Kiamat, pasti dia turut beriman dengan malaikat, para rasul, kitab2 suci dan Qadha’ & Qadar.

http://desriantoprayogi.files.wordpress.com/2009/10/volcano.jpg

Pada hari kiamat ini, sekalian makhluk ALLAH ‘Azza Wa Jalla akan dikumpulkan di padang Mahsyar untuk dibalas segala perbuatan yang dilakukan sepanjang kehidupan di dunia. Insan akan dibalas dengan apa yang dikerjakannya sama ada baik atau buruk. Lebih lama dia hidup di dunia ini ,lebih lamalah perbicaraan dan timbangan amalnya berlaku.

Seorang insan tidak akan menanggung kesalahan orang lain sebagaimana orang lain tidak menanggung kesalahannya. Firman ALLAH ‘Azza Wa Jalla:
“Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)” – Surah Al – Isra’ Ayat 15



Seorang insan yang menyusuri kehidupan di dunia ini pasti mempunyai matlamat yang telah ditetapkan dalam hatinya. Mana mungkin seorang insan hidup tanpa matlamat kerana tanpa matlamatlah yang menyebabkan manusia sanggup membunuh diri gara-gara putus asa dalam meneruskan kehidupan. Putus asa amat sekali dilarang dan haram di dalam Islam. Firman ALLAH lagi:
“......dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” – Surah Yusuf Ayat 87

Oleh sebab itu, kita sangat memerlukan rahmat dan pertolongan ALLAH dalam kehidupan kita ini justeru jangan sesekali berputus asa dan lakukan amal soleh sebagai bekalan untuk kembali kepada-Nya.

Seseorang yang sentiasa mengingati akan peristiwa yang pasti berlaku ini, pasti juga akan mengingati mati. Hal ini kerana kematian adalah langkah awal untuk menuju ke hari kiamat. Insan yang mengingati mati pasti tidak berani dan mahu melakukan kemaksiatan kepada ALLAH dan bertekad untuk melakukan kebaikan dalam segala aspek kehidupan. Hayati dan renungi kisah yang diceritakan oleh ALLAH berikut:
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan. Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam . Api neraka itu membakar muka mereka, dan tinggalah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat. (Sambil dikatakan kepada mereka): “Bukankah ayat-ayatKu selalu dibacakan kepada kamu, lalu kamu terus-menerus mendustakannya?”Mereka menjawab: “Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab-sebab kecelakaan kami, dan dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat. “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.”

(Allah) berfirman: “Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu! “Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata: ` Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat ‘.“Maka kamu jadikan mereka ejek-ejekan sehingga ejek-ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasanKu, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka.“Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya”. Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung. Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” – Surah Al Mu’minun Ayat 99 hingga 115



Dialog tersebut diceritakan oleh ALLAH tentang perkara yang pasti berlaku di akhirat kelak. Jadikannya peringatan kepada diri kita agar sentiasa memuhasabah diri dan memperbaiki amal soleh kita. Justeru, ingatlah akan kematian selalu agar kita elakkan diri kita terpesong dan terjerumus ke dalam kelalaian dan kealpaan. Hadis Rasulullah S.A.W:
Dari Abu Hurairah r.a, katanya : “ Rasulullah S.A.W bersabda : “Perbanyaklah olehmu semua akan mengingati kepada sesuatu yang melenyapkan segala macam kelazatan – yaitu kematian” – Hadis Riwayat Imam At Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hadis hasan.

http://iccirut.files.wordpress.com/2009/10/belief-in-hari-kiamat.jpg

- gambar hiasan



Hayati dan renungi pula kisah berikut yang terkandung dalam surah yang barangkali ramai umat Islam sudahpun hafaz dan menjadi amalan sebahagian umat Islam namun tidak diketahui sama ada mereka faham apa yang dibacakan , surah yang dimaksudkan iaitu Surah Yasin:
“Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): ” Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”, Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang - (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya. (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?"

"(Lalu dikatakan kepada mereka): ” Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!, Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan). Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan; Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki; (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): “Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman)."

“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! “Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. “Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? “Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah). “Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”

"Pada hari itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya? (Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang. Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? – Surah Yasin Ayat 48 – 68



Seterusnya hayati dan renungi kisah yang diceritakan dalam Surah ‘Abasa ini.
“Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? (Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? -Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab; Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih); Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan; Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula). Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya."

"(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, -Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, Dan buah anggur serta sayur-sayuran, Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma, Dan taman-taman yang menghijau subur, Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, -Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat"

"Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; - Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, Tertawa, lagi bersuka ria; Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. -Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka” – Surah ‘Abasa Ayat 17 – 42

http://jalansemut.files.wordpress.com/2009/03/kiamat.jpg

- gambar hiasan



Sesungguhnya amat cukup dan bermakna bagi kita ayat-ayat Al Quran bagi menjadi peringatan dan renungan untuk kita dengan kisah-kisah benar yang pasti berlaku di akhirat kelak yang diceritakan oleh ALLAH dalam kitab suci-Nya itu.Justeru, ingatlah bahwa kehidupan kita di dunia ini tiada nilainya dan akan penuh penyesalan di akhirat nanti sekiranya kita tidak beriman dengan ALLAH dan hari kiamat lantas sentiasa melakukan amal kebajikan sebagai bekalan untuk perbicaraan dan timbangan amal yang akan dibuat di padang Mahsyar kelak. Semoga dengan mengingati kematian dan hari kiamat, akan bertambahlah iman kita selain berasa gerun terhadap peristiwa yang akan berlaku itu lantas berusaha sedaya upaya melakukan amal soleh untuk kehidupan yang bahagia di syurga nanti yang kekal selamanya.