Saturday, September 27, 2008

Bingkisan Sempena Hari Raya Aidilfitri 1429H



Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.

Nampaknya Ramadhan Al Mubarak yang mulia akan berangkat pergi meninggalkan kita beberapa hari sahaja lagi. Rasa seperti baru sahaja Ramadhan menjelang tiba tetapi sekarang ia akan meninggalkan kita. Di kesempatan hayat yang masih ada ini, mari kita sama-sama mengambil sedikit masa untuk kita memuhasabah diri kita sama ada Ramadhan yang kita lalui pada tahun ini adalah lebih baik daripada Ramadhan yang kita lalui pada tahun lalu atau sama sahaja ataupun sebaliknya.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada ALLAH ‘Azza Wa Jalla agar kita segala amalan yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan ini diterima oleh-NYA. Amat malang sekiranya kita bersunggguh-sungguh dalam melakukan ibadah tetapi ia tidak diterima oleh ALLAH. Amal ibadah kita itu perlulah disertai dengan tiga elemen penting iaitu rasa cinta kepada ALLAH, takut akan kekuasan dan azabnya dan mengharapkan balasan.

Selepas perginya Ramadhan, Syawal pula kembali untuk kita meraikan kemenangan kita mengharungi ujian pada bulan Ramadhan. Oleh itu, kita mestilah gembira ketika meraikan hari raya bukan sedih dan sebagainya. Cuma satu perkara yang patut diperbetulkan tentang fahaman kebanyakan orang Melayu sempena Aidilfitri ini ialah kebanyakan orang Melayu Islam menganggap adalah satu kewajipan dan mesti bermaafan pada hari raya. Ia adalah satu fahaman yang salah kerana ia hanyalah amalan yang menjadi adat orang Melayu pada hari raya bukannya satu amalan Sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Tidak salah untuk kita bermaafan pada hari raya asalkan tidak menganggap satu kewajipan dan mesti bermaafan pada hari raya selain hanya bermaafan hanya pada hari raya.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia terutama kepada yang mengenali diri saya. Saya juga ingin memohon jutaan kemaafan kepada kalian atas segala kesalahan yang pernah saya lakukan terhadap kalian. Mari kita raikan Aidilfitri ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Namun janganlah bergembira sehingga solat fardhu diabaikan. Saya akhiri bingkisan ini dengan serangkap pantun.

Ramadhan yang mulia akan berangkat pergi,
Syawal pula kembali meraikan kemenangan,
Ku ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitiri,
Ku ingin pinta ampun dan kemaafan.

Salam Aidilfitri dan Salam kemaafan,
Maaf zahir dan batin.

Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman.
26 Ramadhan 1429H bersamaan 26 September 2008M.

No comments: