Sunday, January 10, 2010

Isu Nama ALLAH: Renungan Bersama

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan bahasa melayunya telah mengundang kemarahan segelintir umat Islam. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 17hb Januari 2009 yang lalu telah melarang akhbar tersebut berbuat demikian, namun ternyata keputusan mahkamah akhirnya berpihak kepada mereka. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan telah memutuskan bahawa akhbar mingguan tersebut mempunyai hak untuk berbuat demikian dari segi Perlembagaan Persekutuan kerana Artikel 11(4) Perlembagaan hanya menghalang orang-orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah untuk menyebarkan agama kepada orang-orang Islam tetapi ia bukanlah larangan untuk orang-orang bukan Islam menggunakannya sesama mereka.



Menurutnya lagi, Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi tidak memberikan kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia untuk menghalang gereja tersebut daripada menggunakan kalimah Allah [UM 1/1/2010]. Umat Islam yang berdemonstrasi membantah keputusan Mahkamah Tinggi memberi hujah bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam dan agama lain tidak berhak menggunakannya. Benarkah hak eksklusif umat Islam? Sebahagian umat Islam yang membantah menyifatkan bahawa penggunaan nama Allah oleh akhbar Kristian tersebut boleh mengelirukan akidah umat Islam.Walaupun kekhuatiran sebahagian umat Islam bahawa penggunaan kalimah Allah oleh puak kuffar ini akan menyebabkan kekeliruan ada asasnya, namun ia hendaklah dijawab dengan nas daripada Al Quran dan Hadis, bukannya emosi atau akal semata-mata. Inilah pendirian yang harus diambil oleh kita sebagai seorang Muslim.

Penggunaan kalimah Allah ini telah pun wujud sebelum zaman Rasulullah SAW diutus lagi. Di Mekah sendiri ketika itu, orang-orang kafir Quraisy sudah pun menggunakan nama Allah di dalam kehidupan seharian mereka, baik semasa beribadat mahupun dalam sumpah mereka. Sehinggalah Muhammad diangkat menjadi Rasul, penyebutan kalimah Allah tetap menjadi kebiasaan mereka, baik oleh kafir Ahli Kitab mahupun kafir Musyrik. Namun hal ini tidak pernah dihalang oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya apa yang dikecam oleh Rasulullah adalah perbuatan mereka yang mensyirikkan Allah dan tidak mahu beriman dengan Al-Quran. Dengan kata lain, yang menjadi perhatian Rasulullah adalah akidah dan juga sistem mereka yang rosak di mana telah berlaku penyimpangan dalam aqidah dan sistem yang mereka terapkan. Namun demikian, terdapat keadaan di mana Allah sendiri yang mengecam dan melaknat golongan kuffar ini apabila mereka telah menyalahgunakan dan meletakkan Allah di tempat yang salah.

Penggunaan Yang Benar

Terdapat banyak ayat Al-Quran di mana Allah tidak mengecam orang-orang kafir menggunakan namaNya, tapi apa yang dikecam oleh Allah adalah perbuatan mereka yang tidak beriman kepadaNya. Antaranya firman Allah,

“Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang-orang kafir), ‘Siapakah yang menciptakan mereka?’ sudah tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’. Maka bagaimanakah mereka boleh dipalingkan (dari menyembah Allah)? Dan (Allah mengetahui) ucapan (Muhammad) yang berkata, Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak beriman!” [Surah al-Zukhruf (43):87-88].

Firman Allah dalam ayat yang lain,

“Dan sesungguhnya jika engkau bertanya kepada mereka, ‘siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?’ tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)? [Surah al-Ankabut (29):61].

Allah juga mengecam orang-orang kafir yang, walaupun meyakini Allah dan menggunakan kalimah Allah, tetapi menyekutukanNya. FirmanNya,

“Ingatlah! Untuk Allah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah berkata, ‘Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuk orang-orang yang berdusta dan sangat kufur. [Surah al-Zumar (39):3].

Di dalam Sirah Ibn Hisyam, juga di dalam banyak hadis mengenai perjanjian Hudaibiyah di antara Nabi SAW dengan kafir Quraish, disebutkan bahawa, tatkala Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi SAW, antara wakil Quraish ialah Suhail bin Amru. Apabila Nabi SAW memerintahkan agar Ali k.w menulis di permulaan perjanjian kalimah ‘Bismillahirrahmanirrahim’, Suhail berkata, ‘Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim’. Maka Nabi SAW pun memerintahkan agar Ali memadam kalimah tersebut dan menggantikannya dengan ‘Bismikallahumma’ (dengan namaMu Ya Allah).

Banyak lagi nas lainnya yang menunjukkan bahawa orang-orang kafir boleh menggunakan nama Allah. Mafhum yang dapat diambil daripada nas-nas di atas adalah Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir tetapi apa yang Allah larang adalah perbuatan orang-orang kafir yang tidak beriman dan menyekutukan Allah. Kesimpulannya, Islam tidak menghalang penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir tetapi dengan syarat ia hendaklah digunakan di dalam konteks yang benar yakni Allah sebagai Tuhan bagi semua manusia, alam semesta dan juga kehidupan. Umat Islam tidak seharusnya terus melenting apabila nama Allah digunakan oleh orang kafir, namun harus dilihat terlebih dahulu konteks penggunaannya. Bahkan dalam beberapa keadaan, penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir mendedahkan dan membuktikan lagi kesesatan kepercayaan agama mereka.

Penggunaan Yang Salah –

Sememangnya terjadi di zaman Rasulullah di mana nama Allah telah digunakan di dalam konteks yang salah oleh orang-orang kafir. Dan hal yang sama boleh berlaku pada bila-bila zaman/masa sekalipun. Firman Allah,
“Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampau dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa anak Maryam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan kalimatNya) yang disampaikan kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh (dariNya). Maka berimanlah kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah mengatakan (Tuhan itu) tiga (‘trinity’)...” [TMQ an-Nisa(4):171].

Dalam ayat lain Allah menyebut,
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘sesungguhnya Allah adalah al-Masih putera Maryam...” [TMQ Al Maidah (5):72].

Dalam ayat berikutnya (ayat 73) Allah menyebut,

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Bahawasanya Allah adalah salah satu dari yang tiga (trinity)’. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih”

Allah melarang sama sekali malah mencela mereka yang menggunakan namaNya dalam konteks yang salah yakni dengan menjadikanNya sebagai salah satu dari tuhan-tuhan. Walhal demi sesungguhnya Allah adalah satu-satunya Tuhan. Secara khusus di dalam ayat di atas, Allah mencela golongan Kristian yang menyebut atau menjadikan Allah sebagai salah satu dari tiga tuhan (trinity). Dan Allah sendiri akan mengazab mereka yang telah menyekutukan atau mengkufuriNya. Di dalam ayat lain, Allah turut melaknat orang-orang Yahudi yang menggunakan nama Allah dalam konteks yang salah,

“Orang-orang Yahudi berkata, “Tangan Allah terbelenggu” sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu” [Surah Al Maidah (5):64].

Oleh yang demikian, jika ada orang-orang kafir yang menggunakan nama Allah, maka hal ini hendaklah diperhatikan terlebih dahulu konteks penggunaannya. Jika mereka menggunakan nama Allah untuk merujuk Allah sebagai Tuhan kepada semua manusia, alam dan kehidupan, maka benarlah adanya. Tetapi jika mereka menggunakan nama Allah untuk merujuk Allah sebagai bapa Al-Masih Isa anak Maryam, sebagai merujuk kepada berhala mereka atau menyekutukanNya, atau meletakkan Allah dengan sifat yang salah (seperti surah 5:64 di atas), maka kesemua ini adalah salah dan batil. Ukuran benar atau salah, atau boleh atau tidak bagi orang-orang kafir menggunakan kalimah Allah, semuanya hendaklah beristidlal kepada Al-Quran atau Sunnah, sebagai nas.

Setakat kajian yang telah dilakukan, dari dulu hingga sekarang pihak Kristian tidak pernah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai Tuhan, baik di dalam kitab mahupun penulisan rasmi mereka, tetapi mereka menggunakan perkataan ‘God’. Lantas apakah agenda mereka kali ini sebenarnya? Tidak mustahil bahawa ini merupakan usaha terbaru mereka untuk mendakwahkan agama Kristian di kalangan orang Islam. ‘God’ diterjemah kepada ‘Allah’ supaya mudah difahami oleh anak-anak muda yang pastinya akan menolak sekiranya Nabi Isa dikatakan sebagai Tuhan. Hakikatnya, apa yang perlu disedari dan dilawan adalah keseluruhan dakyah Kristian itu sendiri, bukannya terperangkap dengan isu istilah yang mereka gunakan. Kita perlu bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab apakah langkah yang mereka laksanakan untuk memantapkan dan menjaga akidah umat Islam? Malangnya, soal akidah umat Islam agak diketepikan berbanding soal feqah yang begitu ditekankan. Tidak hairanlah betapa ramai yang menunaikan solat namun masih melakukan perkara khurafat, syirik dan sebagainya.

Kita memang yakin bahawa golongan Kristian dan Yahudi tidak akan henti-henti cuba menyesatkan umat Islam. Allah telah pun mengingatkan kita tentang perangai dua golongan kuffar ini. Ratusan tahun lamanya mereka berjuang melalui serangan missionaris dan juga orientalis untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Setelah ratusan tahun berusaha, mereka akhirnya berjaya melemahkan dan menghancurkan bukan sahaja umat Islam, malah Daulah Islam sekaligus. Khilafah berjaya mereka runtuhkan. Sejak itu hingga kini, usaha mereka masih tetap berterusan. Namun perlu diingat bahawa usaha jahat mereka sering mencapai kejayaan kerana lemahnya akidah umat Islam itu sendiri.

Sungguh malang apabila hal ini terjadi di mana ‘nama’ Allah mereka perjuangkan, namun ‘hukum’ Allah mereka bakul sampahkan. Sesungguhnya sesuatu yang jauh lebih berbahaya yang sedang kita hadapi sekarang adalah penerapan  budaya negatif oleh remaja Islam melalui dunia hiburan dan sebagainya. Akidah para remaja ini seakan hilang dengan keperibadian sebagai muslim. Ramai yang begitu sensitif menjaga nama Allah habis-habisan, mengatakan ia penghinaan kepada Islam dan sebagainya, tetapi sejauh manakah mereka menjaga akidah mereka selain menjadi muslim yang sentiasa mengamalkan ajaran Islam berpandukan Al Quran dan As Sunnah?

Sesungguhnya amat peliklah bagi mereka yang bersungguh-sungguh menunjukkan kehebatan di dalam melaungkan pembelaan terhadap penggunaan nama Allah melalui demonstrasi dan sebagainya tetapi mereka sendiri mengotori diri-diri mereka dengan meninggalkan ajaran Islam yang syumul itu dan tidak pula berdemonstrasi apabila akidah umat Islam khususnya remaja kian rapuh dek penerapan unsur-unsur negatif dalam dunia hari ini terutama rancangan TV dan hiburan yang sangat membimbangkan.Penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam boleh dibenarkan dengan syarat diletakkan garis panduan agar tidak disalahgunakan dan dipermainkan oleh mereka.Renung-renungkan wahai insan yang bergelar Muslim yang sentiasa berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah...

*Artikel ini dipetik dan diubahsuai daripada artikel terbitan Hizbut Tahrir

No comments: