Saturday, October 17, 2009

Motivasi Menuju Kejayaan...

Oleh: Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad


Hari ini ketika singgah di pejabat PTS sempat berbual rancak dengan CEOnya Puan Sifu Hjh. Ainon. Memang banyak perkara yang dibincangkan dan pelbagai idea yang terkeluar. Saya sempat menceritakan kepada Puan Sifu bahawa saya sedang menyiapkan buku Sikap Penentu Kejayaan. Puan Sifu berkata, anak-anak kita ni patut diajar cara jatuh. Jangan sangka bahawa hidup ini mudah dan lurus sahaja tanpa ada waktunya kita jatuh. Anak-anak yang tidak begitu cemerlang lebih pandai mengurus emosi apabila jatuh berbanding anak-anak yang bijak pandai.

Kebetulan pagi tadi saya menerima panggilan dari seorang bapa yang bertanyakan bila kursus Motivasi Alihan Pelajar selepas raya akan diadakan. katanya dia pernah masukkan anaknya ke dalam kursus MAP ini dan kesannya alhamdulillah. Masalahnya sekarang ialah anak saudaranya yang kini sedang belajar di kolej. Pelajar ini memang cemerlang dalam SPMnya dan boleh dikatakan ulat buku. Hidupnya ialah belajar.. belajar dan belajar. Dia meletakkan harapan yang tinggi untuk cemerlang tetapi malangnya dia mendapat keputusan C dan D sahaja dalam peperiksaannya. Dengan kata lain dia jatuh! Kesannya, dia terus tidak mahu memegang buku dan berkata, “lantaklah selepas ini nak jadi apa”.

Kenapa seorang pelajar yang asalnya pintar bertindak sebegini? Sebab dia tidak pernah diajar cara jatuh. Cuba kita lihat, mat rempit apabila jatuh motosikal siap patah-patah dan cedera teruk tetapi kenapa penunggang motorsikal yang profesional, yang sering kita saksikan di kaca TV, tidak seteruk itu cederanya meskipun kelihatan jatuhnya bukan main teruk? Sebab mereka sudah bersedia untuk jatuh dan mereka tahu bagaimana untuk jatuh dan berguling bagi mengurangkan kecederaan apabila berlaku kemalangan. Dengan kata lain mereka telah pun belajar cara jatuh. Maknanya apabila kita belajar cara jatuh maka kita dapat kurangkan impak dan kesannya ke atas diri kita. Secara tidak langsung kita mudah untuk bangun kembali dan meneruskan perjuangan.

Sebenarnya semua pelajar boleh berjaya jika punya kemahuan yang tinggi. Kemahuan yang tinggi pula wujud apabila seseorang itu punya cukup sebab untuk merealisasikan sesuatu matlamat. Malangnya, kebanyakan pelajar tidak pernah memikirkan semua ini. Mereka hanya lakukan dan menyelesaikan rutin harian mereka sebagai seorang pelajar. Malah ramai pula yang tidak memikirkan langsung rutin harian yang perlu mereka lakukan. Ramai yang terikut-ikut dibawa arus kehidupan.

Cuba lihat apakah yang dihanyutkan oleh arus sungai yang mengalir? Semuanya hanyalah sampah, bangkai, tunggul kayu mati, najis dan sebagainya. Ikan-ikan yang hidup semuanya menongkah arus. Jadi kalau kita sekadar mengikut arus begitulah juga pengakhiran hidup kita. Menjadi manusia yang mati sebelum masanya. Sebab itulah, dalam usaha mencapai kecemerlangan para pelajar perlu lakukan sehabis baik. Buat sehabis baik ketika mengulangkaji pelajaran, bermain, berpersatuan, bergaul dan sebagainya. Apabila anda buat sehabis baik maka anda sebenarnya menggilap permata dalam diri menjadi permata yang berharga. Masanya pasti tiba satu hari nanti anda menikmati hasil dari setiap usaha anda itu.

Ayuh, usah banyak berfikir lagi.. lakukan sahaja sehabis baik dan serahkan segala-galanya pada Yang Maha Kuasa.

*Penulis ialah Pengarah Urusan MAP Training & Consultancy Sdn Bhd

Sumber: Motivasi Alihan Pelajar

No comments: