Saturday, April 23, 2011

Berbakti Kepada Ibu Bapa…

image

Hadis yang menjadi teras perbincangan:

عن عبد الله بن مسعود قال: سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أي العمل أحب إلى الله ؟ قال : ( الصلاة على وقتها ) . قال : ثم أي ؟ قال : ( ثم بر الوالدين ) . قال : ثم أي ؟ قال : ( الجهاد في سبيل الله ) . قال : حدثني بهن ، ولو استزدته لزادني

Maksudnya: Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud Radiyallahu Anhu :Aku Telah Bertanyakan Pada Nabi (S.A.W), Apakah Amalan Yang Paling Dicintai Oleh Allah Taala: Nabi Bersabda,Solat Pada Waktunya,Aku Bertanya Lagi:Apa Lagi Wahai Rasulullah?

Baginda Bersabda: Kemudian Berbuat Bakti Kepada Ibu Bapa, Aku Bertanya Lagi, Apa Lagi Wahai Rasulullah? Baginda Bersabda:Berjihad Di Jalan Allah, Kemudian Rasulullah Berkata Kepada Aku,Andai Kamu Bertanya Lagi Nescaya Akan Aku Menjawabnya.”

--- Hadis riwayat Imam Bukhari(no 5970) dan Imam Muslim(no 85) --

PENERANGAN HADIS:

Tidak akan pernah kita mendengar di dunia keghairahan dan keinginan kepada amal kebaikan melebihi atau setanding para sahabat Nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam. Mereka adalah golongan yang benar-benar mengetahui dan menyedari bahawa ilmu agama merupakan asas kepada semua kebaikan lalu tanpa berlengah mereka akan bersungguh-sungguh mempelajarinya dan bersungguh-sungguh mendengar sabda Nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam.

Mereka merupakan golongan yang paling mengetahui dan memahami Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam. Segala sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya akan langsung diajukan pada Nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam. Keghairahan mereka kepada beramal melebihi keinginan mereka kepada ilmu, mereka sedaya upaya cuba mengikut segala amalan Nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam tidak kira samada dari ucapan atau amalan-amalan nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam dan semua itu semata-mata mengharapkan pahala dan ganjaran dari Allah ‘Azza Wa Jalla.

Semestinya di antara amalan-amalan akan ada amalan yang afdhal dari amalan yang lain,dan mereka akan bertanya kepada Nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam apakah dia amalan yang terbaik untuk memperbanyakkan lagi amal kebaikan mereka.S elain dari hadis di atas , banyak lagi contoh soalan yang diajukan oleh para sahabat kepada baginda Nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana menggambarkan betapa golongan sahabat amat ghairah pada amal kebaikan antaranya telah bertanya Abu Musa Apakah islam yang terbaik?

Rasulullah menjawab: Muslim yang menyelamatkan muslim yang lain dari lidah dan tangannya. Juga sebagaimana soalan yang diajukan Abu Dzar tentang amalan yang terbaik lalu Rasulullah menjawab : Beriman kepada Allah dan RasulNya,Berjihad di jalan Allah,dan haji yang Mabrur. Juga soalan Abu Hurairah mengenai apakah itu islam yang baik, Baginda menjawab: Memberi makan dan menyebarkan salam kepada orang yang kita kenali dan tidak kenali.

SOALAN YANG SAMA TETAPI JAWAPAN YANG BERBEZA?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, pada contoh-contoh soalan yang diajukan dapat kita fahami bahawa soalan yang diajukan kepada Rasulullah adalah soalan tentang apakah amalan yang terbaik tetapi jawapan yang diberikan oleh Rasulullah berbeza. Ini adalah kerana setiap penyoal yang bertanya mempunyai keperluannya sendiri, jadi jawapan yang Rasulullah berikan sesuai dengan keperluan sahabat yang bertanya. Mungkin juga kerana kerana berbeza waktu atau keadaan, sesetengah amalan itu afdhal pada waktu dan keadaan itu dan sesetengahnya afdal pada waktu dan keadaan yang lain.

RAHSIA DI SEBALIK TURUTAN AMALAN YANG DISEBUT DALAM HADIS.

1) Rasulullah menyebut solat sebagai amalan yang pertama kerana ia merupakan hak mutlak Allah dan hak Allah mendahului segala-galanya. Ini juga kerana Solat merupakan kewajipan setiap mukallaf sepanjang hayatnya kecuali mereka yang diberi kelonggaran oleh Allah dan sebagaimana yang kita ketahui manfaat solat khas kepada mereka yang bersolat itu sendiri.

2) Kemudian Rasulullah menyebut berbakti kepada ibu bapa sebagai amalan kedua yang dicintai Allah.Ini kerana Kedua ibu bapa merupakan sebab kewujudan anak-anak dan hak mentaati mereka berada selepas hak Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Manfaat berbakti kepada ibu bapa ini akan dirasai oleh dua pihak .Pihak anak yang berbakti akan mendapat pahala ganjaran dari Allah dan manfaat yang dinikmati kedua ibu-bapa yang dipelihara oleh anak-anak yang mana masa tua mereka terpelihara.

3) Yang terakhir disebut oleh Rasulullah adalah amalan berjihad di jalan Allah,ini adalah kerana berjihad hanya boleh dilaksanakan atau seseorang yang ingin pergi berjihad perlu meminta izin dari kedua ibu bapa dan berjihad merupakan amalan yang hukumnya adalah fardhu kifayah dan manfaatnya pula bersifat umum,meluas dan meliputi banyak sudut.

HUKUM BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Berbakti kepada ibu dan bapa wajib keatas semua yang bergelar anak. Allah mewajibkannya sebagaimana Allah mewajibkan solat dan puasa walaupun kedua ibu bapa itu kafir,sebagaimana Firma Allah Ta’ala:

وإن جاهداك على أن تشرك بى ما ليس لك به علم فلا تطعهما وصاحبهما فى الدنيا معروفا

Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan aku dengan sesuatu yang engkau tidak punyai ilmu tentang itu,maka janganlah engkau mentaati keduanya dan pergauilah keduanya dengan jalan yang baik” ---Surah Luqman ayat 15

Di dalam sebuah hadis yang menceritakan perihal Asma’ Abu Bakar yang bertanya pada Rasulullah adakah boleh dia berhubung dengan ibunya seorang musyrik,lalu Rasululullah membenarkannya.Banyak lagi Dalil-dalil Al-Quran dan Hadis yang menceritakan mengenai kewajiban berbakti pada ibu bapa walaupun ibu bapa yang bukan beragama islam.

MENGAPA KITA PERLU BERBAKTI KEPADA IBU DAN BAPA?

Ketahuilah wahai sesiapa yang bergelar anak,sesungguhnya kedua ibu-bapa adalah sebab kewujudan kalian di dunia,dan Allah telah memuliakan hak mereka keatas kamu. Allah Ta’ala meletakkan tanggungjawab berbakti kepada keduanya bersama dengan perintah beribadah dan mantauhidkan Allah.Bersyukurlah pada Allah dan bersyukurlah pada kedua ibu bapamu,sebagaimana firman Allah:

…..أن شكرلي ولولديك إلى المصير

Maksudnya: “Bersyukurlah kepadaku dan kepada orang tuamu,Hanya kepada aku kembalimu” --- Surah Luqman ayat 14

Ayat di atas menyeru kepada kita supaya bersyukur kepada Allah kerana nikmat diciptakan ke dunia dan nikmat dikurniakan iman,dan bersyukurlah kepada kedua ibu bapa kerana mendidik kita dan kerana mereka kita wujud di dunia.

Sesungguhnya kamu jika berbakti kepada kedua ibu bapamu tidak akan dapat menandingi kehebatan kasih sayang mereka pada kamu dan kasih sayang yang mereka limpahan tidak mengharapkan apa-apa balasan,sedangkan kamu berbakti kepada mereka dan mengharapkan imbalan tidak kiralah imbalan atau ganjaran di dunia atau akhirat dan tidak kurang juga yang menanti-nanti kematian mereka.

Ketahuilah juga kamu akan mendapat balasan daripada anak-anak kamu kelak sama seperti apa yang telah kamu perlakukan pada ibu dan bapa kamu,jika kamu berbuat baik dan berbakti kepada mereka,anak-anak kamu kelak akan melakukan hal yang sama dan begitu juga sebaliknya.

Kata Abdullah Ibn ‘Amru radiallahu ‘anhu:

رضا الله في رضا الوالدين سخط الله في سخط الوالدين

Maksudnya: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa” ---- Hadis Mauquf, Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899

Berbakti kepada kedua ibu bapa merupakan sebab dapat masuk ke syurga dan juga merupakan cara yang membawa kita ke sana bahkan ia adalah sebaik-baik cara masuk ke dalamnya.

Berjihad di jalan Allah merupakan sebaik-baik amalan di sisi Allah ‘Azza Wa Jalla tetapi Rasulullah lebih mengutamakan berbakti kepada ibu bapa dan ini dibuktikan melalui kisah seorang sahabat iaitu Abdullah bi Amru bin Al-Ash yang datang kepada Nabi dan memohon izin untuk ikut berjihad,lalu baginda nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam bertanya adalah ibu bapanya masih hidup,beliau menjawab ya masih hidup lalu Nabi menyuruh beliau pulang dan bersabda: Pada mereka berdua ada jihad yang bermaksud berjihad menahan nafsu dan sabar dalam berbuat baik dan berbakti kepada keduanya.

عن عبد الله بن عمرو بن العاص:جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فأستأذنه في الجهاد,فقال:أحي والدك؟قال:نعم:قال:”ففيهما فجاهد.

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Amru ibnu ‘asr Radiallahu ‘anhum, seorang lelaki mendatangi nabi solallahu ‘alaihi wasallam kemudian meminta izin baginda untuk turut terlibat berjihad. Baginda bertanya: Adakah ibu bapa kamu masih hidup? Jawabnya: Ya! Kata baginda: Berbaktilah kepada mereka dan ia adalah jihad.” -- Hadis Riwayat Imam Bukhari, hadis no. 3004

Berbakti kepada kedua ibu bapa juga sebab kepada panjang umur serta luas dan bertambahnya rezeki.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

رَحِمَهُ وَلْيَصِلْ وَالِدَيْهِ فَلْيَبَرَّ رِزْقِهِ فِي لَهُ يُزَادَ وَأَنْ عُمْرِهِ فِي لَهُ يُمَدَّ أَنْ أَحَبَّ مَنْ

Maksudnya: “Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rizki, maka berbaktilah kepada ibu bapa dan sambunglah tali silaturrahim (dengan kerabat).” -- Hadis Riwayat Imam Ahmad. Syaikh Al Albani dalam Shohih At Targib wa At Tarhib(no 2488) mengatakan bahawa hadis ini hasan lighoirihi, yaitu hasan dilihat dari jalur lainnya --

Bahkan ada Ulama yang menyebut bahawa berbakti kepada ibu bapa menghapuskan dosa-dosa iaitu dosa-dosa besar.Telah berkata Imam Ahmad ibnu Hambal Rahimahullah: “Sesunggunya berbakti kepada ibu bapa menghapuskan dosa-dosa besar”.

Berbakti kepada ibu bapa juga dapat menghilangkan kesulitan dan diperkenankan doa, Menurut hadis yang panjang yang menceritakan tentang 3 orang lelaki dari Bani Israil yang pergi berlindung dari hujan dalam sebuah gua,lalu kerana hujan turun dengan lebat dengan izin Allah menyebabkan seketul batu yang besar jatuh di depan pintu gua lalu menutupnya dan mereka terhalang untuk keluar.

Lalu ketiga-tiga mereka berdoa dengan bertawasul amal kebajikan yang telah mereka lakukan kepada Allah,salah seorang dari mereka bertawasul dengan menyebut baktinya kepada orang tuanya,diriwayatkan lelaki ini menyebut bahawa kedua orang tuanya tinggal bersamanya dan setiapa kali sebelum tidur kedua orang tuanya akan minum susu dan dia sendiri yang akan menghidangkan kepada orang tuanya.

Pada satu malam, dia terlewat pulang dan mendapati kedua orang tuanya telah tidur, dia sangat tidak sampai hati mengejutkan kedua ibu bapanya itu lalu berdiri di samping orang tuanya itu sambil memegang gelas yang berisi susu sehingga pagi dan setelah kedua orang tuanya bangun barulah dia memberikan susu kepada mereka.Berkat berbakti kepada ibu bapa dengan izin Allah batu yang menghalang pintu gua bergerak sedikit,dan berkat gabungan amal soleh mereka bertiga akhirnya mereka dapat keluar dengan selamat dari gua tersebut.

BAGAIMANAKAH CARA UNTUK KITA BERBAKTI KEPADA IBU BAPA.

Berbakti kepada ibu bapa adalah berbuat baik kepada mereka,sentiasa memberikan kebaikan dan sedaya upaya menghalang perkara buruk dari menimpa mereka.

1) Taat kepada mereka hanya pada yang bukan maksiat pada Allah,dan jika diarahkan melakukan maksiat pada Allah janganlah kita taati kerana tidak dibenarkan taat pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah.

2) Bertutur dengan lemah lembut dan merendahkan suara semasa bercakap dengan kedua ibu bapa sebagaimana Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 23-24 yang bermaksud:

Maka sekali-kali janganlah engkau berkata “ahh”dan janganlah engkau membentak keduanya,dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku,Sayangailah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil

3) Mempermudahkan hal nikah kahwin

ADAKAH BERAKHIR BAKTI ANAK-ANAK PADA IBU BAPA SETELAH KEMATIAN MEREKA?

Berbakti kepada mereka bukan hanya semasa hidup sahaja tetapi ianya berterusan sehingga mereka meninggal tetapi dengan cara yang berbeza:

1)Mendoakan dan memohon keampunan untuk mereka,sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

dan ucapkanlah Wahai Tuhanku,Sayangailah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil

Dan sebagaimana sabda Nabi Solallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis:

Jika telah mati seorang anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah Jariah,ilmu yang bermanfaat,atau ANAK YANG SOLEH YANG MENDOAKANNYA

2) Melunaskan hutang piutang yang mereka tinggalkan,dan yang paling utama patut dilunaskan hutang mereka dengan Allah seperti Qada’ puasa,nazar atau haji.

Di dalam sebuah hadis,diriwayatkan telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah dan berkata:Aku telah kematian ibuku,ibuku mati dan dia tidak menunaikan puasa selama sebulan,adakah aku perlu menqada’kannya,lalu Rasulullah menjawab Ya.

3)Menunaikan hajat atau wasiat yang ditinggalkan selagimana tidak pada perkara maksiat dan bersedekah untuk mereka.

Sebagaimana sebuah hadis yang meriwayatkan Telah berkata Saad ibnu Ubadah kepada Nabi:Sesungguhnya ibuku telah mati dan ketika dia meninggal aku tiada di sisinya,adakah bermanfaat padanya jika aku bersedekah untuknya?Rasulullah menjawab:Ya.

4)Dan diantara cara berbakti setelah kematian mereka adalah dengan memuliakan sahabat-sahabat mereka yang masih hidup dan sesiapa yang mereka sayangi.

DIANTARA DUA IBU DAN BAPA ,HAK SIAPA YANG LEBIH UTAMA DALAM UNTUK BERBAKTI?

Pada asasnya kedua ibu bapa hak untuk berbakti dan berbuat baik kepada mereka adalah sama,tiada yang lebih dan kurang. Tetapi ianya sesuatu yang mustahil untuk kita berbakti kepada dua individu dalam satu masa yang sama. Satu contoh yang diberikan jika ibu mengarahkan anak membuat sesuatu pekerjaan pada masa yang sama ayah turut meminta anak membantunya,jadi dalam keadaan ini permintaan siapa yang patut didahulukan.

Jumhur Ulama telah menetapkan bahawa hak ibu lebih perlu diutamakan melebihi hak bapa,utamakan berbakti pada ibu dan bergaullah dengan lemah lembut.Ini adalah kerana di dalam sebuah hadis Rasulullah telah menyebut ibu sebanyak 3 kali dan ayah hanya sekali. Satu faktor lagi Rasulullah menyandarkan kalimah ayah dengan menggunakan kalimah “ثم” yang mana di dalam kaedah bahasa arab ianya membawa maksud turutan yang selepasnya.

عن أبي هريرة قال: جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال:من أحق الناس بحسن صحابتي؟قال:أمك ,قال:ثم من؟ قال:ثم أمك قال:ثم من؟قال:ثم امك,قال ثم من؟قال :ثم أبوك

Maksudnya: “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ayah kamu”. --- Hadis sahih Riwayat Imam Bukhari & Imam Muslim ; lafaz Bukhari hadis no 5971]

Pendapat lain: Kedua-duanya sama,hak ibu dan bapa adalah sama.pendapat ini adalah menurut sebuah hadis:

معاوية بن جاهمة قال:أتيت النبي صلى الله عليه وسلم فقلت:يا رسول الله إني كنت أردت الجهاد معك ابتغي بذالك وجه الله والدار الاخرة ,قال : ويحك أمك؟قال نعم,قال أرجع فبرها

Maksudnya: Mu’awiyah bin Jahimah berkata, Aku bertemu Rasulullah solallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku ingin mengikuti berjihad bersamamu Rasulullah untuk mencari darinya itu wajah Allah dan negeri Akhirat. Rasulullah lalu bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda:“Pulanglah kepadanya dan berbaktilah kepadanya.”

-- Hasan Sahih; Dikeluarkan oleh Imam an-Nasai , hadis no 3104--

MENGAPA IBU LEBIH BERHAK?

Hak seorang ibu yang melebihi hak bapa adalah kerana apa yang telah seorang ibu terpaksa tanggung dan deritai sepanjang tempoh kehamilan dan membesarkan seorang anak,seorang ibu terpaksa melalui pelbagai rintangan sepanjang tempoh kehamilan,menjadi lemah kerana menanggung seoarng bayi di dalam rahimnya.Begitu juga sepanjang tempoh menyusu,waktu rehat ibu tertanggu dek tangisan si bayi yang tidak mengira waktu.Ayah pula hanya bertanggungjawab selepas itu yakni sama-sama membesarkan anak,memberi pendidikan dan nafkah.

Berdasarkan firman Allah Taala di dalam surah Al-Ahqaf ayat 15:

ووصينا الإنسان بوالديه إحسانا حملته أمه كرها ووضعته كرها وحمله وفصاله ثلاثون شهرا

Maksudnya: “Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah

Firman Allah taala dalam surah Luqman ayat 14:

ووصينا الإنسان بوالديه حملته أمه وهنا على وهن وفصاله فى عامين أن شكرلي ولوالديك إلى المصير

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)

Di dalam sebuah Hadis yang menyebut hak berbakti kepada ibu yang lebih utama.

سئل النبي صلى الله عليه وسلم :أي الناس أعظم حقا على المرأة؟ قال:زوجها.فعلى الرجل ؟قال :أمه

Maksudnya: “Ditanya Nabi solallahu ‘alaihi wasallam : hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh seorang isteri. Rasulullah s.a.w. menjawab: suaminya. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh suami. Baginda menjawab, “ibunya” -- Hadis Dhaif, Riwayat Al-Hakim & Albani, hadis no 1212 --

*Artikel ini bukanlah ditulis sepenuhnya oleh saya. Dipetik dan diubahsuai daripada pelbagai sumber.

No comments: